HE Group sasar kumpul RM24.33 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

HE Group sasar kumpul RM24.33 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Jan - Penyedia perkhidmatan kejuruteraan elektrik, HE Group Berhad menyasarkan untuk mengumpul RM24.33 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) selepas disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 30 Januari 2024.

 

Hasil yang diraih akan digunakan untuk pengembangan perniagaan dengan RM15.13 juta atau 62.19% daripadanya akan digunakan untuk menambah keperluan modal kerja seiring dengan jangkaan pertumbuhan dalam perniagaan kumpulan.

 

Sejumlah RM3.65 juta atau 15% daripada hasil itu akan diperuntukkan untuk pengembangan perniagaan, termasuk pertumbuhan tenaga kerja, pengukuhan keupayaan dalamannya, dan penubuhan dua pejabat baharu di Kedah dan Johor.

 

Kumpulan itu juga memperuntukkan RM1.75 juta, mewakili 7.19% daripada hasil kasar, untuk perbelanjaan modal manakala hasil selebihnya akan menampung perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

 

Dengan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 440 juta dan harga IPO sebanyak 28 sen sesaham, kumpulan itu akan mempunyai modal pasaran sebanyak RM123.2 juta selepas penyenaraian.

 

Pengarah Urusan HE Group, Haw Chee Seng berkata, buku pesanan kumpulan itu berjumlah RM211.91 juta pada 15 Disember 2023, yang akan membuatkan kumpulan itu sibuk sehingga akhir tahun ini.

 

“Rekod prestasi kami dalam melayani industri kritikal dan bernilai tinggi seperti semikonduktor, peranti perubatan dan industri produk elektronik menunjukkan kekuatan dan keupayaan kumpulan.

 

"Kami yakin dalam mengembangkan liputan industri kami dengan memasukkan pusat data, sektor yang mengalami peningkatan pelaburan berikutan dasar kerajaan yang menggalakkan dan berkongsi keperluan kritikal untuk bekalan kuasa berkualiti tinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kumpulan itu juga menyasarkan untuk mengembangkan keupayaan dalaman bagi menjadi penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal, elektrikal dan proses bersepadu, dan menubuhkan pejabat baharu di Johor dan Kedah untuk memanfaatkan pelaburan langsung asing di kedua-dua negeri.

 

IPO kumpulan itu terdiri daripada terbitan 86.89 juta saham baharu dalam HE Group, membentuk 19.75% daripada modal saham yang diperbesarkan.

 

Selain itu, penempatan persendirian akan dijalankan untuk tawaran jualan 44 juta saham sedia ada, bersamaan dengan 10% daripada saham yang diperbesarkan.

 

Daripada 86.89 juta saham baharu, 22 juta akan disediakan kepada orang ramai Malaysia melalui pengundian; dan 11 juta saham akan diberikan kepada pengarah, pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

 

Baki 53.89 juta saham akan digunakan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih. - DagangNews.com