DUNGUN 25 Ogos - He & She Coffee, jenama kafe premium terkenal milik Bumiputera kini meneruskan kolaborasi strategiknya dengan Koperasi Siswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Terengganu Kampus Dungun untuk menawarkan program keusahawanan kepada pelajar di kampus tersebut.
Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zulkiflee Yusof berkata, kewujudan rangkaian kafe yang sinonim dengan gaya hidup di kampus itu adalah untuk memberi peluang kepada pelajar menyalurkan kreativiti keusahawanan mereka dengan dunia realiti perniagaan.
"Keutamaan untuk bekerja sambilan di kafe ini diberi kepada pelajar dari keluarga B40 sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami untuk mengurangkan beban kewangan keluarga mereka.
"Selain dapat mencari duit poket tambahan di sini, pelajar juga didedahkan dengan konsep perniagaan sebenar sekaligus mencungkil bakat mereka dalam bidang keusahawanan seawal mungkin," katanya kepada DagangNews.com hari ini.
Mula beroperasi di Dungun pada Julai lalu, He & She Coffee cawangan itu menyasarkan jualan bulanan lebih RM90,000 buat permulaan pada tahun pertamanya.
Sehingga kini, He & She Coffee telah menawarkan lebih daripada 100 peluang pekerjaan sambilan kepada pelajar pra siswazah dan pasca siswazah melalui 16 rangkaiannya di seluruh Malaysia.
Antaranya di Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Tenaga Nasional dan beberapa kampus di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Zulkiflee berkata berdasarkan sambutan memberangsangkan dari universiti awam dan swasta, He & She Coffee juga akan melebarkan sayapnya dengan pembukaan 24 lagi cawangan dalam masa dua tahun lagi.
Ditanya rahsia kejayaan He & She Coffee pula, beliau berkata idea membuka kafe di kampus adalah untuk memudahkan proses penyampaian ilmu dalam suasana yang lebih kondusif dan realistik.
"Dalam era milenium ini, pendidikan tidak lagi seharusnya terhad kepada pengajaran di bilik kuliah semata-mata. Sebaliknya, pelajar harus diberi peluang untuk terlibat dalam dunia keusahawanan yang sistematik dan tersusun secara 'real time'.
"Disebabkan itu He & She Coffee sentiasa terbuka dengan sebarang pandangan dari pelajar ini kerana setiap idea yang diberi adalah begitu berharga untuk memperkukuhkan lagi segmen dan jenama ini di pasaran tempatan," katanya.
Sementara itu, Rektor UiTM Cawangan Terengganu, Profesor Ts. Mazidah Puteh berkata, selain memberikan peluang kepada pelajar menambahkan pendapatan sampingan, He&She Coffee juga menawarkan tempat bagi pelajar Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan mengaplikasikan ilmu sebagai ‘barista’ di kafe tersebut.
Beliau juga menyambut baik cadangan pihak He&She Coffee untuk dijadikan sebagai salah satu pilihan tempat bagi pelajar fakulti tersebut menjalani latihan industri di kafe tersebut.
"Pihak universiti juga menyambut baik kerjasama pembukaan kafe ini kerana selain memberikan pilihan kepada warga kampus, kafe ini juga sedikit sebanyak dapat membantu ekonomi masyarakat setempat seperti pembekal bahan mentah kepada kafe diambil dari syarikat sekitar daerah Dungun serta memberikan pilihan tambahan kepada masyarakat setempat untuk mencuba pelbagai menu menarik yang disediakan.
"Jalinan kerjasama antara UiTM Cawangan Terengganu dan He&She Cafe telah bermula sejak dua tahun yang lalu dengan termeterainya perjanjian persefahaman (MoU) antara dua pihak.
"Perkongsian kepakaran pensyarah juga adalah antara pengisian yang telah dipersetujui kedua-dua pihak dalam MoU tersebut," katanya. - DagangNews.com