Henti jadikan COVID-19 sebagai alat politik, fokus kepada vaksinasi - MBM | DagangNews Skip to main content

Henti jadikan COVID-19 sebagai alat politik, fokus kepada vaksinasi - MBM

Jufitri Joha
Jufitri Joha 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Majlis Belia Malaysia (MBM) meletakkan harapan agar semua pihak menghentikan perbalahan dan tidak menjadikan COVID-19 sebagai alat politik.

 

Sebaliknya, fokus harus diletakkan kepada usaha ‘exit door’ kepada wabak berkenaan iaitu suntikan vaksinisasi.

 

Presidennya, Jufitri Joha berkata, kadar vaksinisasi dos kedua masih jauh menjangkau angka 50%, ditambah penderitaan rakyat yang dihimpit masalah ekonomi dan membawa kepada kadar kes bunuh diri yang semakin meningkat.

 

Pihaknya menyifatkan situasi berkenaan bukan waktu yang sesuai untuk meneruskan perbalahan politik yang akan terus merunsingkan belia dan rakyat.

 

"MBM berdiri teguh bersama rakyat yang telah penat dan tidak menyebelahi mana-mana pihak menggesa dengan tegas agar pemimpin politik kasihankanlah rakyat, tumpukan perhatian penuh kepada pemulihan negara sehingga keadaan reda yang membolehkan pilihan raya diadakan bagi memberikan laluan rakyat memilih kerajaan pilihan mereka yang lebih stabil," katanya dalam satu kenyataan.

 

Dalam kenyataan sama, MBM menjunjung titah yang disampaikan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bahawa sekarang bukan waktu untuk pemimpin politik berebut kuasa dalam keadaan rakyat sedang menderita dengan pandemik COVID-19 yang berpanjangan.

 

Baginda turut menyeru agar semua rakyat dan pemimpin mengamalkan sikap saling tolong-menolong tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik dalam memastikan nasib rakyat dapat diberikan fokus paling utama.

 

Dalam masa yang sama, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar turut menzahirkan rasa kecewa dengan tindakan pemimpin politik yang cuba mengganggu gugat kerajaan dan berebut kuasa. 

 

Sultan Ibrahim menegaskan agar pemimpin perlulah jujur dan amanah dalam memikul tanggungjawab yang diberikan, dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan perpaduan ummah, bukannya kepentingan diri sendiri sehingga menggugat keharmonian masyarakat dan kestabilan politik tanah air.

 

Jufitri berkata, teguran daripada kedua-dua Baginda seharusnya menjadi isyarat dan mesej jelas kepada semua ahli politik dalam keadaan rakyat sedang menderita dan kehilangan nyawa. - DagangNews.com