Hextar Technologies lupus tanah bernilai RM8.8 juta di Klang bagi pengembangan perniagaan teknologi | DagangNews Skip to main content

Hextar Technologies lupus tanah bernilai RM8.8 juta di Klang bagi pengembangan perniagaan teknologi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Mac - Hextar Technologies Solution Bhd menerusi Sin Hiap Hoe Trading & Transport Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Dataran Ehsan Sdn Bhd bagi melupuskan tanah pajakan bernilai RM8.78 juta di Klang bagi mengembangkan perniagaan teknologinya.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pelupusan tanah seluas 0.9 hektar itu antara lain bertujuan menjana hasil daripada aset bukan teras dan menggunakan dana yang diperolehi bagi mengembangkan perniagaan teknologi.

 

Katanya, ia juga merangkumi kos pembangunan aplikasi serta modal kerja.

 

"Pelupusan itu juga akan menambah baik kedudukan kewangan kumpulan bagi mencerminkan fokus perniagaannya pada masa hadapan khususnya dalam perniagaan berkaitan teknologi," katanya.

 

Pertimbangan pelupusan itu dicapai atas dasar 'seperti sedia ada' berdasarkan rundigan antara penjual dan pembeli setelah mengambil kira nilai pasaran hartanah serupa di sekitar kawasan sama.

 

"Kumpulan itu menganggarkan keuntungan bersih sekali sahaja sebanyak RM680,000 daripada pelupusan itu.

 

"Tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka, pelupusan hartanah itu dijangka selesai pada suku ketiga 2024," katanya.

 

Katanya, pelupusan itu bagaimanapun tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham.

 

Katanya, tiada pengarah, pemegang saham utama dan/atau orang yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam pelupusan itu. - DagangNews.com