Hextar Technologies tinggalkan segmen gudang selepas selesai cadangan pelupusan tanah bernilai RM78.31 juta | DagangNews Skip to main content

Hextar Technologies tinggalkan segmen gudang selepas selesai cadangan pelupusan tanah bernilai RM78.31 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Julai - Hextar Technologies Solutions Berhad akan meninggalkan segmen pergudangan selepas selesai cadangan penjualan tanah yang membolehkan syarikat itu mengumpul wang tunai RM78.31 juta untuk mengembangkan perniagaan teknologinya.

 

"Setelah selesai cadangan (dilupuskan), kumpulan itu akan fokus kepada segmen logistik, perdagangan dan teknologinya dan perniagaan lain, seperti agensi insurans dan pegangan pelaburan," kata kumpulan dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Kumpulan itu baru-baru ini mencadangkan penjualan tanahnya kepada dua entiti, iaitu SWS Capital Berhad dan Hextar Holdings Sdn Bhd, yang sebahagiannya dimiliki oleh pemegang saham kawalannya Datuk Eddie Ong.

 

SWS Capital akan mengeluarkan wang tunai RM61.61 juta untuk membeli tanah perindustrian di Nilai, Pasir Gudang dan Klang, manakala Hextar Holdings membayar RM16.7 juta untuk mengambil alih unit milik penuh HexTech Channel Legion Sdn Bhd (CLSB) yang memiliki tanah di Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

 

Kumpulan itu juga mencadangkan terbitan bonus 30 untuk satu yang akan membesarkan modal sahamnya kepada 3.99 bilion saham.

 

"Kumpulan itu percaya bahawa pelupusan di atas tidak memberi kesan material kepada perniagaan kumpulan, pada masa hadapan," katanya.

 

Katanya, hasil dan keuntungan CLSB masing-masing menyumbang kira-kira 2.3% dan 27.2% kepada tahun kewangan kumpulan berakhir 31 Mac 2023 (FY23), yang sebahagian besarnya daripada pajakan hartanahnya. 

 

Bagaimanapun, hartanah CLSB telah kosong sejak Januari 2023.

 

"Bagi hartanah Guper Bonded Warehouse Sdn Bhd (anak syarikat milik penuh Hextar Technologies yang terletak di Nilai) dan harta tanah Klang, ia adalah tanah kosong dan tidak menjana sebarang hasil," katanya.

 

Kumpulan itu berkata, mereka akan menggunakan sebahagian besar hasil untuk pengembangan perniagaan teknologinya (RM68 juta) dan modal kerja (RM8.71 juta) dalam tempoh dua tahun akan datang. - DagangNews.com