HLIB : Edgenta NXT beri kelebihan kepada UEM Edgenta | DagangNews Skip to main content

HLIB : Edgenta NXT beri kelebihan kepada UEM Edgenta

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Julai - Inisiatif UEM Edgenta Bhd. yang melancarkan Edgenta NXT mencerminkan usaha kumpulan ke arah mencapai aspirasi 'Edgenta of the Future (2025)'.

 

Melalui usaha itu, UEM Edgenta menyasarkan untuk muncul sebagai penyedia penyelesaian teknologi dengan tumpuan kepada sektor penjagaan kesihatan. 

 

HLIB Research percaya platform itu yang menyediakan 3 tawaran utama iaitu Edgenta NXT Cloud, Edgenta NXT Marketplace dan Edgenta NXT Procure ini adalah percubaan kumpulan untuk membina ekosistem digital yang menawarkan perniagaan satu penyelesaian sehenti.

 

"Di samping itu, ia juga akan menambah nilai kepada operasi perniagaan dengan memanfaatkan marketplace Edgenta NXT," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Semalam, UEM Edgenta Bhd telah melancarkan Edgenta NXT, platform ekosistem digital pertamanya bertujuan melonjakkan perniagaan ke arah transformasi digital.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syahrunizam Samsudin berkata, platform itu sejajar dengan visi syarikat pengurusan aset dan penyelesaian infrastruktur itu 'Edgenta of the Future 2025'  untuk memacu transformasi digital dan  menyediakan perkhidmatan infrastruktur awan hujung ke hujung di bawah Edgenta NXT Cloud.

 

Baca : Edgenta NXT bertujuan lonjakkan perniagaan ke arah transformasi digital

 

Penyelesaian ini termasuklah QuickMed, Bangunan Pintar, Pengurusan Aset Pintar, Pengurusan Projek Pintar, dan Jalan raya Pintar yang disokong oleh rakan awan Alibaba Cloud, iaitu tulang belakang teknologi digital dan kecerdasan Alibaba Group.

 

HLIB Research menjangkakan QuickMed akan menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk telekesihatan, rujukan secara atas talian oleh profesional perubatan dan penghantaran perubatan pada masa akan datang.

 

UEM Edgenta secara dasarnya telah menyediakan sokongan perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada kebanyakan hospital kesihatan. 

 

"Selain dimiliki oleh Khazanah Nasional Bhd, kami berpendapat, hanya masa yang akan menentukan sebelum hospital kerajaan mengguna pakai platform QuickMed atau mula menggunakannya bagi membolehkan pesakit menempah temu janji, yang akan menyaksikan pesakit menggunakan platform tersebut. 

 

"Oleh itu, kami percaya platform QuickMed ini akan membina pangkalan pengguna dan menjadikannya penawaran menarik kepada rangkaian klinik dan hospital yang lebih besar," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' ke atas UEM Edgenta dengan harga sasaran RM2.40. - DagangNews.com