HLIB jangka pendapatan Homeritz kekal mendatar akibat penurunan jualan di Amerika Utara, EU | DagangNews Skip to main content

HLIB jangka pendapatan Homeritz kekal mendatar akibat penurunan jualan di Amerika Utara, EU

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Jan - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan pendapatan Homeritz Corporation Berhad kekal mendatar disebabkan pelbagai faktor termasuk penurunan jualan hartanah di kawasan utama merangkumi Amerika Utara dan Kesatuan Eropah (EU) akibat kenaikan kadar faedah pinjaman perumahan.

 

Firma itu berkata, kenaikan kadar faedah tu juga memberi impak negatif terhadap permintaan perabot.

 

Katanya, kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) juga menghakis margin keuntungan kumpulan itu dan kenaikan kadar inflasi semasa juga memberi kesan kepada kuasa membeli pengguna.

 

Antara faktor lain yang turut mendorong termasuk peningkatan risiko kemelesetan ekonomi di AS dan EU serta normalisasi permintaan perabot untuk pejabat di rumah terutama selepas pengguna kembali bekerja di pejabat.

 

"Selepas mengambil kira semua faktor tersebut, kami percaya kunci kira-kira yang stabil dengan kedudukan tunai yang kukuh akan membantu kumpulan itu berdepan cabaran masa hadapan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) pada 1QFY23 sebanyak RM6 juta dan keputusan itu tidak mencapai ujuran yang dibuat firma itu.

 

Firma itu 'memotong' unjuran pendapatan bagi FY23/24 sebanyak 14.8%/14.2% bagi mencerminkan jangkaan jualan yang rendah.

 

Firma itu juga menyemak turun penarafan kumpulan itu kepada 'jual' berbanding 'pegang' dengan harga sasaran (TP) yang lebih rendah 45 sen berbanding 53 sen sebelum ini. - DagangNews.com