KUALA LUMPUR 31 Mac - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research memulakan liputan terhadap SAM Engineering and Equipment Berhad (SEE) dengan penarafan 'pegang' pada harga sasaran (TP), RM4.58.
Firma itu berkata, kumpulan itu merupakan pengeluar kontrak dan pemain utama dalam mesin ketepatan dan penyepaduan peralatan untuk industri aeroangkasa dan peralatan.
Katanya, bahagian perniagaan aeroangkasa kumpulan itu mengkhusus dalam pemesinan ketepatan produk aeroangkasa khusus geometri kompleks, terutamanya dalam skop nacelles dan kes enjin, manakala bahagian perniagaan peralatan syarikat menyediakan perkhidmatan penyepaduan sistem kepada syarikat multinasional global dalam industri semikonduktor serta penyimpanan data.
"Kumpulan itu dijangka menerima manfaat daripada bahagian aeroangkasa kerana kebanyakan kerja pembuatan mereka untuk program kapal terbang yang menyumbang 65% daripada pendapatan bahagian itu pada FY22," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu menyatakan bahawa kumpulan itu berada di kedudukan terbaik dalam rantaian bekalan peralatan semikonduktor.
"Kami juga percaya, kumpulan itu akan mendapat manfaat daripada peningkatan berterusan dalam belanja modal semikonduktor global dan jualan peralatan," katanya.
Firma itu menyatakan bahawa 82 fabrik volum semikonduktor 300mm baharu akan mula beroperasi dari 2023 hingga 2026.
Selain itu, SEMI menjangkakan perbelanjaan peralatan fab 300mm berjumlah AS$63 bilion pada 2023, AS$77 bilion pada 2024, AS$117 bilion pada 2025 dan AS$132 bilion pada 2026.
"Kami percaya bahawa penilaian semasa adalah adil walaupun berdepan ketidaktentuan kerana industri semikonduktor global sedang melalui kitaran pembetulan inventori, dan kami melihat kelembapan yang ketara dalam permintaan untuk kedua-dua simpanan data dan segmen elektronik pengguna di seluruh dunia," katanya. - DagangNews.com