HLIB semak turun ramalan pendapatan UMediC bagi FY24 sebanyak 3% kesan pemulihan perlahan dalam segmen pemasaran | DagangNews Skip to main content

HLIB semak turun ramalan pendapatan UMediC bagi FY24 sebanyak 3% kesan pemulihan perlahan dalam segmen pemasaran

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Jun - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menyemak turun ramalan pendapatan FY24 UMediC Group Bhd sebanyak 3% kesan daripada pemulihan yang lebih perlahan dalam segmen pemasaran dan pengedaran pada 4QFY24.

 

Katanya, kumpulan itu juga dijangka tidak akan mencatatkan sebarang peningkatan dari segi tempahan pada 4QFY24 kerana Kementerian Kesihatan (KKM) masih belum memuktamadkan model perolehan baharu.

 

Firma penyelidikan itu meramalkan peningkatan pesanan yang positif pada 1QFY25.

 

"Selepas KKM memuktamadkan model perolehan baharu, kami menjangkakan hasil akan menjadi lebih rendah tetapi percaya ia akan diimbangi oleh jumlah pembelian yang lebih tinggi ditambah bahagian pasaran pesaing yang lebih kecil.

 

"Selain itu kumpulan itu juga dijangka berdepan kesan pemampatan margin kesan daripada tindakan kerajaan bagi menjimatkan kos," katanya dalam atu nota kajian, hari ini.

 

HLIB berkata, kumpulan itu memaklumkan bahawa Patho Solutions Malaysia sudah memeterai perjanjian pengedaran eksklusif baharu dengan AliveDx, penyedia rumusan diagnostik yang berpangkalan di Switzerland, pada Mei 2024.

 

Katanya, perjanjian itu adalah untuk pengedaran peranti perubatan berkaitan makmal yang dipanggil MosaiQ Solution.

 

Peranti perubatan itu menyediakan proses diagnostik yang lebih cekap (iaitu ujian tunggal dan bukannya berbilang ujian) dan jangka masa yang lebih pendek (iaitu keputusan hari yang sama berbanding tiga hingga lima hari semasa) bagi penyakit autoimun dan alahan.

 

"Pada masa ini, kumpulan sedang menjalankan tinjauan pasaran bagi menentukan permintaan dan harga akan ditetapkan selepas tinjauan.

 

"Memandangkan ia masih di peringkat permulaan, kami tidak mengambil kira sumbangan ini ke dalam ramalan kami," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.02 sesaham. - DagangNews.com