HLIB semak turun unjuran pendapatan UMediC Group sebanyak 21% pada FY24 kesan daripada hasil rendah | DagangNews Skip to main content

HLIB semak turun unjuran pendapatan UMediC Group sebanyak 21% pada FY24 kesan daripada hasil rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Jun - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menyemak turun unjuran pendapatan UMediC Group Bhd sebanyak 21% bagi FY24 selepas mengambil kira andaian hasil yang lebih rendah serta cukai lebih tinggi.

 

Katanya, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) teras kumpulan pada 3QFY24 adalah sebanyak RM2 juta menjadikan jumlah keseluruhan kepada RM6.7 juta pada 9MFY24.

 

Firma penyelidikan itu berkata, hasil itu berada di bawah jangkaan kami sebanyak 58% dengan sisihan negative disebabkan hasil yang lebih rendah daripada jangkaan (66% daripada ramalan tahun penuh, terutamanya untuk segmen pemasaran serta pengedaran) dan kadar cukai berkesan yang lebih tinggi daripada jangkaan.

 

"PATMI teras 3QFY24 dicapai selepas membuat pelarasan untuk bayaran sekali sahaja (terutamanya yuran profesional berkaitan terbitan khasnya dan pemindahan Pasaran Utama) berjumlah RM500,000," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

HLIB berkata, secara keseluruhan, hasil kumpulan berkembang 18.8% didorong sumbangan daripada segmen pemasaran serta pengedarannya (14.4%) dan segmen pembuatan sebanyak 27.8%.

 

Bagaimanapun, PATMI teras hanya meningkat sebanyak 7.2%, kesan kos operasi yang lebih tinggi dalam segmen pembuatan (peningkatan pengambilan kakitangan sebagai persediaan untuk pengembangan kapasiti dan perbelanjaan pemasaran yang meningkat), margin keuntungan yang lebih rendah dalam segmen pemasaran dan pengedaran, serta perbelanjaan cukai yang lebih tinggi.

 

Katanya, setelah menerima kelulusan yang diperlukan, kumpulan itu telah menempatkan semula gudangnya ke kilang baharu, memberi laluan kepada pengembangan kapasiti pembuatannya.

 

"Kapasiti pengeluaran HydroX kumpulan itu ditetapkan untuk meningkat daripada 300,000 botol sebulan kepada 420,000 botol/bulan (+40%) pada April 2024 sebelum mencapai 600,000 botol/bulan menjelang Disember 2024.

 

"Kami juga menjangkakan hasil dan keuntungan kumpulan meningkat dari suku tahun ke suku tahun," katanya.- DagangNews.com