HLIB turunkan penarafan Vitrox kepada 'pegang' dengan TP lebih rendah pada RM7.24 | DagangNews Skip to main content

HLIB turunkan penarafan Vitrox kepada 'pegang' dengan TP lebih rendah pada RM7.24

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 28 Okt - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menyemak turun penarafan saham Vitrox Corp. Bhd. kepada 'pegang' daripada 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM7.24 berbanding RM8.60 sesaham sebelum ini. 

 

Sejajar dengan semakan itu, ia menyemak semula unjuran keuntungan bersih teras Vitrox bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak -5%, -16% dan -17%.

 

Ini berikutan keuntungan bersih teras sebanyak RM142 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022 adalah tersasar daripada jangkaan firma dan juga konsensus untuk tahun kewangan penuh masing-masing pada 70% dan 71%.

 

"Perbezaaan adalah margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) terlaras yang lebih rendah daripada jangkaan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pada suku ketiga berakhir 30 September 2022, keuntungan bersih Vitrox meningkat 20.4% kepada RM50.84 juta daripada RM42.21 juta bagi tempoh sama tahun lalu, didorong oleh dolar Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh dan campuran produk yang menggalakkan.

 

Pendapatan juga meningkat 10.3% kepada RM185.58 juta berbanding RM168.29 juta yang dicatatkan setahun lalu berikutan permintaan kukuh berterusan daripada Automated Board Inspection (ABI).

 

Bagi tempoh sembilan bulan, ia merekodkan pendapatan sebanyak RM560.3 juta, meningkat 13.3% daripada RM494.4 juta dalam tempoh sama tahun lalu manakala untung bersih meningkat kepada RM152.21 juta daripada RM123.54 juta.

 

HLIB berkata, aktiviti penempatan semula, pengembangan dan pengalihan pesanan berskala besar CM/EMS global akan mewujudkan permintaan terhadap produknya.

 

"Walaupun, Vitrox menerajui teknologi dan model perniagaan aset yang ringan akan terus memacu pertumbuhan pada masa hadapan, kami berpendapat bahawa profil ganjaran risikonya adalah adil buat masa ini," katanya. 

 

Menurutnya, kumpulan turut menjangkakan inflasi dan ketegangan geopolitik baru-baru ini akan membawa kepada ketidaktentuan dalam permintaan pasaran.

 

Setakat 9.51 pagi ini, harga sahamnya susut 6 sen atau 0.83% kepada RM7.20 dengan 4,300 saham diniagakan. - DagangNews.com