HLIB unjur pendapatan teras FY22 hingga FY24 berkembang pada CAGR 10.2% | DagangNews Skip to main content

HLIB unjur pendapatan teras FY22 hingga FY24 berkembang pada CAGR 10.2%

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Dis - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengunjurkan pendapatan teras FY22 hingga FY24 OSK Holdings Berhad berkembang pada  kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) 10.2%.

 

Firma itu juga menjangkakan hasil bagi FY22/23/24 adalah sebanyak RM379.9 juta/ RM422.9 juta/ RM461.2 juta. 

 

"Perkembangan pendapatan itu disokong pelancaran hartanah baharu selain pembiayaan modal daripada pertumbuhan pinjaman yang stabil.

 

"Ia juga didorong pengembangan kapasiti dan pertumbuhan industri selain pemulihan kehadiran pelancong asing dan ketiadaan Cukai Makmur," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih 3QFY22 meningkat 41.9% kepada RM113.4 juta berbanding RM79.89 juta setahun sebelumnya, dengan semua segmen perniagaan mencatatkan prestasi yang lebih baik.

 

Perniagaan hotel dan resort di bawah segmen hospitaliti kembali kepada keuntungan pada suku tersebut, manakala segmen lain - hartanah, pembinaan, industri dan perkhidmatan kewangan dan pegangan pelaburan dengan menyaksikan prestasi yang lebih baik.

 

Firma itu memulakan liputan terhadap kumpulan itu dengan saranan 'beli' pada harga sasaran RM1.42.

 

Katanya, kumpulan berjaya mengubah perniagaannya daripada sebuah firma perbankan pelaburan kepada sebuah konglomerat yang terlibat dengan pelbagai perniagaan.

 

"Kami percaya bahawa kumpulan itu dengan model perniagaannya yang berdaya tahan yang diketuai oleh pasukan pengurusan yang berkebolehan seharusnya mampu mengharungi kitaran ekonomi yang berbeza," katanya. - DagangNews.com