HLIB unjur prospek lebih cerah untuk Westports didorong aliran FDI kukuh | DagangNews Skip to main content

HLIB unjur prospek lebih cerah untuk Westports didorong aliran FDI kukuh

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Julai - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengunjurkan prospek lebih cerah untuk Westports Holding Bhd didorong aliran pelaburan langsung asing (FDI) yang kukuh.

 

Katanya, jumlah pemindahan penghantaran perlu dilakukan secara beransur-ansur apabila perdagangan global meningkat sebaik bank pusat mula mengurangkan kadar.

 

Firma penyelidikan itu berkata, terminal Westports mengalami kesesakan semasa suku kedua 2024 bermula sejak akhir Mac tahun ini dengan sebahagiannya disebabkan oleh kesan limpahan daripada kesesakan pelabuhan di Singapura di mana beberapa kontena ke Singapura dialihkan ke pelabuhan itu.

 

Ia menyebabkan kadar penggunaan pelabuhan lebih tinggi dan menyebabkan hasil perkhidmatan nilai tambah (VAS) meningkat pada suku tersebut.

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu berkongsi bahawa sejak Julai 2024, kesesakan telah mula reda, memberi petanda baik kerana ia membebaskan lebih banyak kapasiti bagi mengendalikan volum yang lebih tinggi terutama pada suku ketiga dengan peningkatan secara bermusim menjelang Krismas," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pendapatan Westports bagi 6MFY24 meningkat kepada RM1.1 bilion dipacu pengendalian kontena lebih tinggi

 

HLIB berkata, jumlah penghantaran pada separuh pertama tahun ini menguncup sebanyak 3% dan masih belum menunjukkan tanda-tanda pemulihan berikutan perdagangan global yang lemah dalam persekitaran inflasi dan kadar faedah yang tinggi.

 

Bagaimanapun, jumlah pintu masuk terus menunjukkan pertumbuhan yang teguh di mana volum separuh pertama 2024 meningkat sebanyak 11% disebabkan import yang kukuh hasil daripada aliran masuk FDI yang kukuh.

 

"Pengembangan Westports 2 kekal di landasan yang betul dengan kumpulan itu menjangkakan kerja-kerja pengorekan dan penambakan akan dimulakan pada suku keempat 2024.

 

"Terminal pertama dari pengembangan Westports 2 – CT10 dijangka mula beroperasi pada separuh pertama 2028," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM4.89 sesaham. - DagangNews.com