LEDAKAN media sosial amat memberikan pengaruh yang sangat kuat terhadap individu untuk mencuba sesuatu perkara yang baharu memandangkan maklumat yang disebarkan mempunyai jangkauan yang luas secara global.
Budaya ‘hidden gems’ yang sering disebarkan oleh pengguna media sosial menarik perhatian ramai untuk melawat kawasan yang tersembunyi atau terpencil kerana daya tarikan yang unik berserta keindahan alam yang memukau mata memandang.
Namun demikian, budaya penularan ‘hidden gems’ bagi aktiviti jelajah hutan sehingga mencerobohi kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) bukanlah sesuatu yang baik malah akan memberikan kesan buruk pada kawasan lindungan.
Dalam konteks ini, kegiatan yang dilakukan akan menimbulkan kerosakan kepada HSK yang berharga kerana pokok-pokok hutan yang bernilai di kawasan tersebut akan dicantas untuk membina laluan buat si penjejak hutan yang mengancam kelestarian alam sekitar dan ekosistem habitat di situ.
Dorongan budaya ini menimbulkan keinginan orang awam untuk melihat keindahan yang ditonjolkan pada video atau gambar yang telah dimuat naik secara nyata dan memberi keyakinan bahawa kawasan tersebut boleh dimasuki walaupun ia merupakan HSK yang telah diwartakan.
Isu pencerobohan HSK bukanlah sesuatu perkara yang baharu bahkan saban tahun ada sahaja kejadian berulang yang dilaporkan.
Kenyataan larangan masuk dan hukuman yang tertera di papan tanda setiap HSK ibarat hiasan semata-mata kerana segelintir masyarakat masih berdegil untuk terus mencerobohi kawasan tersebut.
Lebih menyedihkan apabila papan tanda larangan diruntuhkan dan dirosakkan tanpa rasa bersalah bagi memasuki kawasan berkenaan secara haram dan tanpa premit.
Seharusnya rakyat Malaysia perlu menjadi ‘air orang disauk, ranting orang dipatah, adat orang diturut’ bagi melindungi segala khazanah alam untuk simpanan anak dan cucu generasi masa hadapan.
Pencerobohan HSK hasil budaya ‘hidden gems’ sememangnya membawa impak negatif yang besar kepada penghuni hutan serta masyarakat tempatan yang bergantung kepada hutan tersebut untuk kehidupan mereka.
PENCEROBOHAN HSAH
Rentetan itu, kawasan lubuk kawah atau Blue Lagoon di Hutan Simpan Ayer Hitam (HSAH), yang lebih dikenali orang ramai sebagai Wawasan Hiking Trail atau Kinrara Hiking Trail tidak terkecuali dicerobohi individu yang tidak bertanggungjawab dek terpukau dengan keindahan air sungai berwarna biru.
Baru-baru ini telah tular di media sosial lokasi hutan yang berkeluasan 1,182 hektar yang dianugerahkan melalui perjanjian kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai kawasan penyelidikan, pendidikan dan pengembangan bukanlah untuk aktiviti rekreasi telah dicerobohi orang awam.
Menurut Pemelihara Hutan itu, Mohd Farhan Shahrin berkata aktiviti pencerobohan kawasan tersebut sentiasa berlaku pada setiap hujung minggu dan musim cuti perayaan terutamanya melalui laluan atau jalan haram yang dibuka sendiri oleh para penjelajah hutan.
Kedudukan hutan HSAH yang dikelilingi kawasan pembangunan yang pesat menyebabkan lokasi itu sentiasa diserang penceroboh daripada setiap penjuru hutan selain melibatkan kos yang amat tinggi untuk membina pagar melindungi kawasan itu.
Farhan berkata kecantikan kawasan Blue Lagoon sering memanggil mata yang memandang untuk mendekati kawasan tersebut. Namun, lubuk itu adalah berbahaya kerana mempunyai kedalaman hampir 20 kaki dan pernah meragut nyawa.
Beliau menegaskan kualiti air di situ perlu dijaga dan dikawal kerana aktiviti rekreasi tanpa kawalan menerusi pencerobohan menyebabkan air di situ akan tercemar menjadi punca kencing tikus yang membahayakan pelajar yang sedang melaksanakan kajian.
Pencerobohan yang dilakukan bukan sekadar menjejaskan kualiti air, namun meninggalkan sisa kotoran seperti sampah sarap dan unggun api. Setiap perbuatan yang kita lakukan akan meninggalkan kesan kerana ‘ada kerak adalah nasi’.
KEPERLUAN PERLINDUNGAN HSAH
Tahun 1996 menyaksikan kerajaan Selangor memberikan kebenaran kepada UPM melalui satu perjanjian untuk mengurus dan menjalankan aktiviti berunsurkan pendidikan, penyelidikan dan pengembangan perhutanan selama 99 tahun.
Pada tahun 2012 Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah merasmikan Pusat Pendidikan Perhutanan Sultan Idris Shah (SISFEC) yang bertanggungjawab membantu UPM mengurus dan melaksanakan aktiviti mengikut perjanjian yang dimeterai.
Selain itu, SISFEC juga menyasarkan untuk menjadi sebuah model hutan pendidikan dan penyelidikan yang sentiasa memelihara dan memulihara alam sekitar.
Hutan ini menjadi satu-satunya hutan yang masih bernafas dan tinggal di kawasan Puchong serta menjadi agen penyerap karbon terbesar di Lembah Klang disebalik pembangunan pesat bangunan konkrit.
HSAH seharusnya dilindungi kerana setiap kawasan hutan ini memiliki ekosistem yang unik, flora dan fauna endemik yang perlu dijaga bagi mengekalkan kepelbagaian biologi dan mengelakkan tanah terus dihentam pembangunan yang melampau dek keuntungan manusia semata-mata.
HSAH mengandungi beberapa khazanah alam yang sangat bernilai seperti tumbuhan endemik iaitu pokok merawan meranti.
Sekiranya kawasan tersebut dibangunkan bagi kegiatan pembangunan maka akan pupuslah tumbuhan tersebut di negeri Selangor bahkan di Malaysia.
Kehilangan hutan ini juga akan menyebabkan kepupusan habitat fauna untuk berlindung bahkan habitat Harimau Malaya turut pernah dilaporkan berada di hutan ini namun telah pupus.
Penyelidik juga pernah menjumpai kesan cakaran haiwan liar mamalia besar dan terdapat rekod melalui ‘camera trap’ mamalia besar yang lain sekitar hutan.
Rondaan berkala bersama Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan beberapa agensi bertanggungjawab sentiasa dilaksanakan bagi memastikan integriti kawasan hutan ini terus dipelihara.
Sungguhpun HSAH tidak dibuka kepada orang awam untuk melakukan aktiviti rekreasi, namun aktiviti pemindahan ilmu dan kelestarian alam sekitar seperti penanaman pokok hutan sentiasa dibuka kepada semua dan boleh dimohon melalui Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS) UPM. - DagangNews.com