HSBC Amanah rangkul Anugerah Bank ESG Terbaik 2020 | DagangNews Skip to main content

HSBC Amanah rangkul Anugerah Bank ESG Terbaik 2020

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 7 Ogos - HSBC Amanah Malaysia Berhad (HSBC Amanah) berjaya membawa pulang Anugerah Bank ESG Terbaik pada Anugerah Kewangan Islam Aset Triple A 2020.

Pada anugerah sama, bank itu turut diiktiraf sebagai Bank Kewangan Perdagangan Islam Terbaik, buat kali ketiga berturut-turut.

HSBC Amanah juga menerima empat anugerah lain, tiga anugerah bagi Kuasi Terbaik - Sukuk Berdaulat, Sukuk Baharu Terbaik, Pembiayaan Berstruktur Terbaik dan Produk Kewangan Perdagangan Terbaik.

Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Amanah, Oz Ahmed berkata, pihaknya berusaha untuk bergerak ke arah entiti perbankan yang mampan dan anugerah diperoleh merupakan cabaran kepada HSBC Amanah untuk menyampaikan prestasi yang lebih baik.

 

Oz Ahmed
Oz Ahmed

 

“Ini merupakan detik yang membanggakan buat HSBC Amanah, menerima pengiktirafan atas hasil kerja kami dalam memperjuangkan agenda kelestarian dan memajukan strategi kemampanan kumpulan di Malaysia dan Asia. 

“Kemenangan ini mencerminkan komitmen berterusan dan selaras dengan inisiatif Bank Negara Malaysia (BNM), pengantaraan berasaskan nilai (VBI) untuk mendorong perbankan Islam mengamalkan amalan yang mampan,” kata Ahmed menerusi satu kenyataan hari ini. 

Anugerah Kewangan Islam Aset Triple A 2020  memilih institusi dan transaksi Islam terbaik di beberapa buah negara yang mengaplikasikan pendekatan rapi.

Pada tahun ini, HSBC juga menerima pengiktirafan sebagai Bank Terbaik bagi Kemampanan Kewangan Asia, Timur Tengah dan kawasan Utara Eropah oleh Euromoney.

Pada 2019, institusi perbankan itu turut diiktiraf sebagai Bank Terbaik Dunia bagi Kemampanan Kewangan.

HSBC yang berhasrat untuk menjadi perbankan yang rendah karbon di dunia dan pembiayaan yang mampan itu telah melaksanakan beberapa siri komitmen untuk mencapainya termasuk peruntukan sebanyak AS$100 bilion menjelang 2025. - DagangNews.com