HSBC dapati rakyat Malaysia yang mewah melabur dalam pasaran saham, unit amanah, simpanan tetap dan bon | DagangNews Skip to main content

HSBC dapati rakyat Malaysia yang mewah melabur dalam pasaran saham, unit amanah, simpanan tetap dan bon

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Jun - The Affluent Investor Snapshot 2024 HSBC mendapati bahawa rakyat Malaysia yang mewah lebih banyak melabur wang mereka dalam pasaran saham, unit amanah, simpanan tetap dan bon.

 

Laporan itu berkata, bagi pelaburan masa hadapan, mereka memberi fokus kepada dana dagangan bursa (ETF) komoditi, anuiti dan Amanah Pelaburan Hartanah (REIT).

 

Tinjauan dalam talian yang dijalankan pada Mac 2024 mendapati bahawa rakyat Malaysia yang mewah berada di kedudukan antara yang paling banyak melabur dan sedang mencari untuk menggunakan lebih separuh atau 52% daripada pegangan tunai semasa mereka ke dalam pelaburan dalam tempoh 12 bulan akan datang.

 

Tinjauan yang diadakan di 11 pasaran termasuk Hong Kong, India, Indonesia, China, Malaysia, Mexico, Singapore, Taiwan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).

 

Penyelidikan itu berjaya mendapatkan pandangan daripada 11,230 pelabur mewah berumur 25 hingga 69 tahun.

 

Setiap yang terlibat dengan kaji selidik itu memiliki aset boleh labur antara AS$$100,000 hingga AS$2 juta.

 

hsbc
Linda Yip

 

HSBC berkata, rakyat Malaysia yang mewah memegang purata lima produk dan kelas aset dalam portfolio pelaburan mereka, lebih tinggi daripada purata global.

 

Kira-kira 47% rakyat Malaysia yang mewah merancang untuk melabur lebih banyak dalam pasaran lain, lebih tinggi daripada purata global sebanyak 41%.

 

Ketua Negara Kekayaan dan Perbankan Peribadi HSBC Malaysia, Linda Yip berkata, berdasarkan hasil tinjauan di Malaysia, pelabur mewah mengukuhkan portfolio mereka dengan menggunakan strategi kepelbagaian aset dan dengan menggunakan lebih banyak tunai untuk dikembangkan. 

 

Beliau menganggap ia sebagai satu trend yang menggalakkan kerana pelabur ingin membina portfolio kewangan yang berdaya tahan dan di melalui instrumen pengurusan kekayaan holistik.

 

"Malaysia merupakan hab kekayaan yang berkembang pesat, dan kami sedang memanfaatkan kelebihan ini dengan lebih lanjut sejajar dengan hasrat pelanggan kami untuk mengukuhkan portfolio kewangan dan mengumpul kekayaan mereka," katanya.- DagangNews.com