HSBC umum bantuan pelepasan bayaran balik pinjaman | DagangNews Skip to main content

HSBC umum bantuan pelepasan bayaran balik pinjaman

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Jun - HSBC Malaysia menyediakan pelbagai bantuan pelepasan bayaran balik pinjaman dan pembiayaan buat pelanggan yang terjejas susulan lonjakan semula kes COVID-19 di dalam negara. 

 

Ini termasuk moratorium pinjaman selama tiga bulan dan bayaran ansuran bulanan yang dikurangkan sehingga 50% bagi tempoh enam bulan. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia, Stuart Milne berkata, sokongan yang diberikan itu perlu menjadi lebih baik berbanding pelepasan bayaran yang menyeluruh pada tahun lalu.

 

Stuart Milne
Stuart Milne

 

“Ini bermakna membantu mereka yang sangat rentan dari segi kewangan menerusi bantuan pelepasan tertentu, di samping menggunakan langkah yang lebih luas bagi menyokong pelanggan yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Baca : Pemerkasa Plus umum moratorium segera hingga RM30 bilion

 

Kedua-dua bantuan pelepasan berkenaan ditawarkan untuk mereka yang kehilangan pekerjaan pada tahun 2020 atau 2021, pendapatan mereka atau isi rumah yang terjejas akibat COVID-19 serta perniagaan mikro atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak dibenarkan beroperasi ketika ‘lockdown’.

 

Menurut HSBC, apabila bank itu menerima permohonan daripada pelanggan, pihaknya akan terus memproses secara automatik, tertakluk kepada pemenuhan kriteria masing-masing.

 

Di samping bantuan yang khusus berkenaan, HSBC juga komited untuk membina semula kewangan peribadi dan perniagaan pelanggan dengan terus menawarkan pinjaman.

 

Selain itu, menghubungkan semula pelanggan kepada peluang, terutamanya mereka yang memerlukan navigasi komersial rentas sempadan. 

 

Turut disasarkan kepada pelanggan adalah memperbaharui pendidikan kewangan dengan pelbagai program bagi mendidik mereka di segenap peringkat umur. - DagangNews.com