Hubline dapat kontrak sewa helikopter, pesawat RM26 juta untuk PRN-12 Sarawak | DagangNews Skip to main content

Hubline dapat kontrak sewa helikopter, pesawat RM26 juta untuk PRN-12 Sarawak

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Sept. - Hubline Berhad menerusi anak syarikatnya, Layang Layang Aerospace Sdn Bhd (LLA) meraih kontrak perkhidmatan sewa helikopter dan pesawat sayap tetap bernilai RM25.67 juta daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). 

 

Perkhidmatan itu bakal digunakan bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang ke-12, menurut kenyataan Hubline.

 

Jelas Hubline, LLA pada awalnya telah menerima jemputan daripada SPR bagi pembidaan kontrak tersebut sebagai persediaan menjelang pilihan raya tersebut.

 

Ekoran tarikh pilihan raya itu belum ditetapkan disebabkan oleh situasi pandemik semasa, kontrak tersebut akan berkuatkuasa selama 24 bulan bermula 26 Ogos 2021 hingga 25 Ogos 2023.

 

Hubline

 

Berdasarkan kontrak tersebut, LLA bertanggungjawab untuk menyediakan helikopter dan pesawat sayap tetap termasuk bekalan dan kelengkapan operasi penerbangan, persediaan pesawat dan kru serta pelaksanaan jadual dan operasi penerbangan.

 

“Lembaga Pengarah syarikat berpendapat bahawa penerimaan kontrak ini untuk kebaikan syarikat.

 

"Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif terhadap perolehan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2022 dan/atau 30 September 2023, mana-mana tempoh pilihan raya itu akan diadakan,” jelas Hubline.

 

LLA merupakan salah satu pengendali penerbangan umum terbesar di dalam negara, di mana melibatkan charter kecemasan dan perkhidmatan doktor, tinjauan udara, penerbangan sewaan, operasi menyelamat, dan sebagainya. - DagangNews.com

 

 

TERKINI 7 SEPT 2021 : Kontrak untuk pilihan raya Sarawak, rancakkan minat terhadap saham Hubline