i2M Ventures akan ditamatkan sebagai syarikat aktif selepas semua perjanjian pelabur selesai — MOF | DagangNews Skip to main content

i2M Ventures akan ditamatkan sebagai syarikat aktif selepas semua perjanjian pelabur selesai — MOF

KUALA LUMPUR 10 Julai - Khazanah Nasional Bhd tidak berhasrat untuk menambah bilangan pelabur di bawah syarikat milik penuh i2M Ventures Sdn Bhd, kerana fungsinya akan ditamatkan selepas perjanjian dengan 12 pelabur aktifnya dimeterai.

 

Menurut Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying, masih terdapat lapan pelabur di bawah perjanjian sokongan kewangan dan empat di bawah perjanjian fasilitasi.

 

"Perjanjian terakhir dijangka tamat pada 2027," kata Lim dalam ucapan penggulungannya mengenai usul Laporan Ketua Audit Negara di Dewan Rakyat pada Rabu.

 

 

i2M Ventures

 

 

Beliau berkata i2M Ventures tidak menjana sebarang pendapatan operasi dan melaksanakan fungsinya melalui peruntukan kewangan langsung yang disediakan oleh Khazanah.

 

"Pada 2020, keputusan telah dibuat untuk mengintegrasikan operasi i2M Ventures dengan Iskandar Investment Bhd (IIB), dan menukar i2M Ventures daripada syarikat aktif kepada tidak aktif," katanya.

 

Beliau juga berkata i2M Ventures, melalui IIB, akan terus memantau pencapaian penunjuk prestasi utama dan menyalurkan dana kepada pelabur aktif.

 

Laporan Ketua Audit Negara 2/24 yang dikeluarkan pada 4 Julai menasihatkan kajian semula i2M Ventures untuk memastikan kerelevanan kewujudannya selepas memenuhi semua komitmen dan perjanjian dengan pelabur Iskandar Global Business Services pada 2025.

 

i2M Ventures didapati gagal mencapai objektif yang ditetapkan iaitu mempromosi, memasarkan dan mengurus perniagaan di Iskandar Puteri, Johor.

 

Selaras dengan cadangan audit, Lim berkata Khazanah akan mengkaji semula fungsi i2M Ventures selepas melunaskan semua komitmen dan perjanjian dengan pelabur pada 2025. - DagangNews.com