KUALA LUMPUR 21 Jan - SkyWorld Development Bhd (SkyWorld Development) bakal memperluaskan operasi perniagaannya dengan meneroka bidang pembuatan sistem modular prefabrikasi dan siap guna.
Pemaju hartanah tersebut berkata, ia telah menandatangani perjanjian pemegang saham dengan Teambuild Holding (S) Pte Ltd yang berpusat di Singapura sebagai langkah untuk memasuki sektor pembuatan prefabrikasi.
Melalui syarikat usaha sama, Prefab Master Sdn Bhd, di mana SkyWorld Development memegang 70% kepentingan ekuiti, kedua-dua pihak akan memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan dalam reka bentuk dan rumusan kejuruteraan inovatif, pengeluaran, penjualan dan pemasangan sistem modular prefabrikasi dan siap guna, serta pengembangan pasaran di negara-negara ASEAN (tidak termasuk Singapura).
SkyWorld Development berkata, ia akan mempelopori penggunaan teknologi pembinaan volumetrik prefabrikasi siap guna untuk menyokong pembangunan perumahan mampu milik terbesar di Malaysia di Pulau Pinang, sebuah pembangunan bersama dengan Penang Development Corp dan PDC Properties Sdn Bhd, yang dimeterai pada Disember 2024.
"Langkah meneroka bidang baharu ini adalah sebahagian daripada usaha kumpulan SkyWorld Development untuk mengenal pasti dan menggunakan proses dan teknologi inovatif dalam perniagaan pembangunan hartanah yang dapat meningkatkan kualiti dan kebolehpercayaan kepada pelanggan," katanya dalam satu pengisytiharan di Bursa Malaysia.
Menurut SkyWorld Development, perniagaan pembuatan prefabrikasi akan meningkatkan kecekapan operasi kumpulan, mewujudkan kerjasama bernilai dan meletakkan syarikat dengan kelebihan daya saing, terutamanya dalam melaksanakan projek pembangunan besar seperti pembangunan bersama yang dicadangkan.
"Pembangunan bersama yang dicadangkan dijangka bermula pada separuh kedua 2025 dan akan berlangsung selama 10 hingga 15 tahun dengan nilai pembangunan kasar sekitar RM13 bilion," jelasnya. - DagangNews.com