IBFIM tawar modul e-pembelajaran, perkukuh pengetahuan pengendali takaful | DagangNews Skip to main content

IBFIM tawar modul e-pembelajaran, perkukuh pengetahuan pengendali takaful

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 1 Okt. - Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) melancarkan plaform inovatif e-pembelajaran terbaharu iaitu Program Pembelajaran Berterusan (CLep) dalam usahanya memperkukuhkan lagi perkembangan modal insan di dalam industri kewangan Islam.

 

Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM, Yusry Yusoff berkata, CLeP, melalui program perintis yang memberi fokus kepada pembelajaran Takaful adalah bertujuan untuk meningkatkan tahap pengetahuan dan kecekapan pengendali takaful melalui platform digital.

 

Ujarnya program tersebut diberikan tuntutan mata Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) oleh Persatuan Takaful Malaysia (MTA) melalui Sistem Pengurusan Pembelajaran IBFIM atau "i-CLASS" yang memberi pengalaman pembelajaran mudah dan lancar.

 

"CLeP akan memberi peluang kepada pengamal industri takaful kaedah pembelajaran alternatif di mana modul pembelajaran adalah ringkas, mudah diakses dan pada kadar yuran yang rendah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

CLeP untuk takaful terdiri daripada 18 topik bagi memenuhi keperluan pembelajaran industri Takaful termasuk lebih daripada 100,000 pengedali Takaful di seluruh negara. 

 

Pada fasa seterusnya, IBFIM dijangka akan menyediakan modul CLeP bagi industri lain seperti perbankan, pengurusan pelaburan, kewangan sosial dan kelestarian.

 

Sementara itu Pengerusi MTA Elmie Aman Najas berkata, pelancaran CLeP untuk takaful adalah tepat pada masanya kerana keperluan untuk latihan sekarang adalah lebih tertumpu kepada platform digital berdasarkan norma baharu.

 

"MTA ingin menyeru semua pengendali takaful dan takaful semula untuk memanfaatkan platform baharu yang ditawarkan oleh IBFIM ini dan menggabungkan ia ke dalam kurikulum latihan dalaman. 

 

"Isi kandungan CLeP memberi peluang kepada setiap pengamal industri untuk memadankan dan menyesuaikan hasil pembelajaran yang ingin diperoleh," katanya. -DagangNews.com