IBFIM-UNISSA meterai MoA bangunkan modal insan kewangan Islam | DagangNews Skip to main content

IBFIM-UNISSA meterai MoA bangunkan modal insan kewangan Islam

 Majlis menandatangani MoA antara IBFIM dan UNISSA yang dilangsungkan secara maya hari ini.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangenews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) memeterai Memorandum Perjanjian bersama Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Brunei (UNISSA) bagi membangunkan modal insan kewangan Islam di peringkat global.

 

MoA antara kedua-dua institusi tersebut menawarkan program persijilan IBFIM iaitu Kelayakan Bersekutu dalam Kewangan Islam (AQIF) kepada pelajar-pelajar dan tenaga pengajar UNISSA.

 

Majlis yang berlangsung secara maya itu disaksikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah bersama Ahli Lembaga Pengarah IBFIM, Muhammad Fikri Mohamad Rawi dan Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Norarfan Zainal.

 

IBFIM dalam satu kenyataan berkata, kerjasama tersebut diharapkan dapat memacu perkembangan industri kewangan Islam di Brunei sebagai negara yang berada di kedudukan ke-15 teratas di antara institusi kewangan Islam dunia.

 

Ia juga selaras dengan aspirasi negara Brunei untuk menjadi salah sebuah hab kewangan Islam antarabangsa.
 

Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM, Yusry Yusoff berkata, pihaknya dan UNISSA berkongsi aspirasi yang sama untuk melahirkan graduan yang terlatih dan mencapai tahap kebolehpasaran dalam kewangan Islam bukan sahaja di Brunei malah di peringkat antarabangsa.

 

“Melalui jalinan strategik ini, bukan sahaja program sedia ada dapat ditawarkan, tetapi akan memberi peluang untuk program-program baru di bangunkan secara bersama khususnya dalam bidang-bidang seperti kelestarian, teknologi dan kewangan sosial. 

 

"Kami berharap usaha ini juga akan mengeratkan lagi kerjasama di antara Malaysia dan Brunei Darussalam," tambah beliau.

 

AQIF yang diakreditasi penuh oleh Agensi Akreditasi Kewangan (FAA) juga telah mendapat pengiktirafan dari Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan (MKPK) Negara Brunei Darussalam.

 

Memorandum Perjanjian itu juga adalah susulan Memorandum Persefahaman yang telah di tandatangani pada tahun 2017.

 

Hingga kini, MoA berkenaan telah menghasilkan sejumlah 19 orang graduan dan tiga orang pensyarah UNISSA dengan pensijilan AQIF. - DagangNews.com