Ibu pejabat Lebuh raya Plus jadi Pusat Pemberian Vaksin | DagangNews Skip to main content

Ibu pejabat Lebuh raya Plus jadi Pusat Pemberian Vaksin

PETALING JAYA 29 Julai - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjadi ibu pejabat lebuh raya pertama yang diaktifkan sebagai Pusat Pemberian Vaksinasi Integrasi (PPVI) untuk memberi vaksin kepada 2,000 individu sehari.

 

Inisiatif ini menjadi realiti dengan kerjasama rakan penasihat perubatannya, Primer Cherang bersama Protech Health, pelaksana pengamal perubatan swasta dan penyertaan agensi penjagaan kesihatan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

 

Pasukan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) telah memilih Ibu Pejabat Persada PLUS sebagai salah satu daripada 14 lokasi imunisasi awam untuk mempercepatkan pemberian vaksin melalui Kapasiti Lonjakan Operasi (Operation Surge Capacity) bagi memastikan semua orang dewasa akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang 1 Ogos dan membantu melandaikan lengkuk jangkitan.

 

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, sehingga Ahad 25 Julai, PICK telah melaporkan lebih 16 juta dos yang terdiri daripada dos pertama dan dos kedua telah berjaya diberikan, di mana kira-kira 11.5 juta penduduk telah menerima dos pertama mereka dan lebih daripada 5.4 juta telah divaksin sepenuhnya dengan dua dos.

 

"Berdasarkan data ini, PLUS berbangga dapat memainkan peranannya bagi membantu negara mempercepatkan kadar pemberian imunisasinya. Lebih cepat kita dapat mencapai sasaran untuk membolehkan kita memasuki empat fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), lebih cepat ekonomi dapat diperbaiki dan perniagaan boleh pulih,” kata beliau dalam satu kenyataan.

 

“Saya menggesa anda untuk sentiasa memeriksa dan mengemas kini aplikasi MySejahtera dan siapa tahu, anda mungkin mengunjungi Ibu Pejabat Persada PLUS kami tidak lama lagi. 

 

"Dalam pada itu, saya ingin menasihatkan semua supaya terus mematuhi SOP jika anda perlu keluar melakukan aktiviti harian, jika tidak, adalah lebih baik sekiranya anda boleh bekerja dari rumah sehingga divaksin sepenuhnya. Semoga pada masa itu, seperti yang diumumkan oleh kerajaan, anda berpeluang untuk merentas negeri dan daerah di lebuh raya kami sekali lagi,” ujarnya.

 

Menurut beliau, PLUS bukan sekadar pengendali lebuh raya. Peranannya sebagai Rakan Negara dapat dilihat dalam kapasitinya bagi menyediakan rangkaian lebuh raya yang selamat dan selesa termasukkanlah diselenggara dengan baik kerana ia memudahkan pengangkutan barangan keperluan serta hasil komersial penting untuk ekonomi. Oleh itu, penglibatannya dalam program imunisasi ini dapat memastikan kelestarian syarikat dan negara. 

 

PLUS
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail dan Pengarah Klinik Primer Cherang, Dr. Safwan Saifudin, rakan perubatan bagi Pusat Vaksinasi Awam Bersepadu Ibu pejabat Lebuhraya PLUS yang pertama di negara ini.

 

Penyertaan ini juga memberi peluang kepada kakitangan PLUS untuk menyumbang kepada peristiwa yang bermakna dan bersejarah. Sebagai kakitangan yang menjadi kebanggaan organisasi, Warga PLUS menyertai pasukan sukarelawan yang terdiri daripada 150 petugas kesihatan daripada Primer Cherang dan Protect Health. Dalam misi untuk membantu seberapa ramai individu di Malaysia untuk diberi vaksin, ia juga merupakan salah satu usaha untuk memelihara dan melindungi daripada dijangkiti Coronavirus.

 

Untuk maklumat terkini mengenai PPVI Persada PLUS, sila layari www.plus.com.my atau laman media sosial PLUS Malaysia menerusi Facebook, Instagram, Twitter, LinkedIn dan lain-lain. - DagangNews.com