Icon Offshore raih kontrak sewaan kapal AWB daripada Petrolpan | DagangNews Skip to main content

Icon Offshore raih kontrak sewaan kapal AWB daripada Petrolpan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Mac - Icon Offshore Bhd menerusi Icon Offshore Group Sdn. Bhd. telah menerima kontrak dan Piagam Sewaan Kapal (CPA) dengan Petrolpan Sdn Bhd bagi penyediaan kapal kerja penginapan (AWB) bagi aktiviti kerja penyambungan dan pentauliahan.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, penyediaan perkhidmatan akan dimulakan serta-merta selepas selesai pemeriksaan pra-sewa AWB.

 

Katanya, nilai kerja bagi kontrak itu adalah berdasarkan CPA.

 

"Tempoh utama kontrak adalah selama 45 hari dari tarikh permulaan dengan pilihan untuk dilanjutkan selama 15 hari," katanya.

 

Ikon Kayra merupakan AWB yang lengkap dengan kemudahan moden, telah dipilih oleh Petrolanpan untuk aktiviti kerja sambungan dan pentauliahan. CPA menggariskan reputasi Icon Offshore untuk menyampaikan kecemerlangan dalam perkhidmatan sokongan luar pesisir.

 

Pengarah Urusan Icon Offshore, Dato' Sri Hadian Hashim berkata, perjanjian itu adalah bukti kualiti armada kumpulan bagi memenuhi segala keperluan pelanggan.

 

Beliau berkata, perkongsian itu menetapkan peluang pertumbuhan yang besar untuk syarikat sepanjang tahun ini.

 

"Kami optimistik terhadap prospek Icon Offshore untuk sepanjang tahun ini. Perjanjian terbaharu ini menunjukkan keupayaan kami untuk mendapatkan perkongsian strategik dan menekankan komitmen kami untuk menyampaikan nilai kepada pemegang kepentingan kami.

 

"Kami berharap dapat memanfaatkan momentum ini dan mengukuhkan lagi kedudukan kami dalam pasaran," katanya. - DagangNews.com