Icon Sunsuria, Island Hospital jalin kerjasama buka pusat kanser pertama di Pulau Pinang | DagangNews Skip to main content

Icon Sunsuria, Island Hospital jalin kerjasama buka pusat kanser pertama di Pulau Pinang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Okt - Icon Sunsuria Sdn. Bhd. memeterai kerjasama dengan Island Hospital Sdn. Bhd. (IH) bagi membuka pusat kanser pertamanya di Pulau Pinang.

 

Icon Sunsuria telah menjalin kerjasama dengan IH bagi membangunkan pusat itu dan ia dijadual beroperasi awal 2024.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Icon ASEAN dan Hong Kong, Serena Wee berkata, misi utama Icon Sunsuria adalah bagi menjadikan penjagaan kanser lanjutan boleh diakses dengan pendekatan menyeluruh dan berpusatkan pesakit.

 

“Kerjasama kami dengan IH adalah bukti kepada misi ini, menggabungkan kepakaran onkologi kami yang luas dengan institusi penjagaan kesihatan yang terkenal. Bersama-sama, kami akan memanfaatkan keupayaan kolektif kami untuk membantu mengurangkan jurang dalam akses penjagaan kanser, dan menangani beban penjagaan kesihatan.

 

"Perkongsian ini merupakan langkah penting ke hadapan dalam visi kami untuk menyediakan penjagaan kanser bertaraf dunia dan akses yang lebih luas kepada rawatan kanser berkualiti untuk pesakit di Malaysia dan rantau ini. 

 

"Melalui kerjasama ini, kami akan memperkasakan pesakit dan keluarga mereka dengan pengetahuan dan sumber dalam memerangi kanser, dan membuat langkah penting ke arah bertahan,” katanya.

 

Icon Sunsuria ialah usaha sama antara Sunsuria Healthcare, anak syarikat milik penuh Sunsuria, dan Icon Cancer Centre Singapore, yang merupakan sebahagian daripada Icon Group, penyedia penjagaan kanser bersepadu terbesar di Australia.

 

Kerjasama itu menghimpunkan kepakaran merangkumi lebih daripada 300 doktor, lebih daripada 50 pusat kanser dan lima kemudahan pengkompaunan kemoterapi bagi meningkatkan keupayaan kepakaran perubatan dan kemudahan bertaraf dunia Island Hospital yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

 

Beliau berkata, Icon Sunsuria menyasarkan penyediaan akses kepada penjagaan kanser yang berkualiti, dan meningkatkan kesejahteraan pesakit dan keluarga mereka, dengan menubuhkan pusat kanser di seluruh Malaysia melalui perkongsian strategik dengan pengendali penjagaan kesihatan tempatan.

 

"Menerusi jalinan kerjasama dengan IH berserta peralatan perubatan termaju, perkongsian ini mencerminkan komitmen Icon Sunsuria untuk menyediakan penjagaan kanser bertaraf dunia dan meningkatkan akses kepada rawatan kanser berkualiti untuk pesakit di Malaysia dan rantau ASEAN Selatan yang lebih luas,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sunsuria Healthcare, Audrey Ooi berkata, Pulau Pinang dipilih kerana lokasi strategik negeri dan reputasi yang mantap sebagai destinasi untuk pesakit yang mendapatkan rawatan perubatan lanjutan.

 

Sementara itu, Sunsuria menegaskan bahawa perkongsian itu dijangka tidak memberi kesan material terhadap prestasi kewangan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2024. - DagangNews.com