Iconic Worldwide lancar projek "Mewah Mampu Milik " Iconic Harmony di Bukit Mertajam, lot kedai habis dijual dalam 5 Minit | DagangNews Skip to main content

Iconic Worldwide lancar projek "Mewah Mampu Milik " Iconic Harmony di Bukit Mertajam, lot kedai habis dijual dalam 5 Minit

Dari kiri, Pengarah Urusan Iconic, James Tan Cho Chia; Dato’ Seri Tan Kean Tet dan dua Pengarah Eksekutifnya, Katherine Tan dan Jason Chung.
Oleh Mohamad Iman

PULAU PINANG 22 April - Iconic Maison Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Iconic Worldwide Berhad melancarkan projek hartanah inovatif terbarunya, Iconic Harmony, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM300 juta.

 

Projek Iconic ini iaitu syarikat tersenarai Bursa Malaysia yang terlibat terutamanya dalam pelancongan, pembangunan hartanah dan pembuatan peralatan perlindungan diri (PPE) terletak di Alma, Bukit Mertajam telah mendapat sambutan hebat semasa pelancaran.

 

 

iconic

 

 

Iconic Maison telah mengadakan acara pelancaran awal untuk projek tersebut pada 20 dan 21 April 2024 di Galeri Jualan Iconic Maison. Semasa permulaan pelancaran, sejumlah 16 lot kedai dua tingkat telah habis dijual dalam tempoh lima minit.

 

Iconic Harmony menampilkan 751 rumah mampu milik pegangan bebas dalam bangunan setinggi 36 tingkat. Setiap unit kediaman menawarkan keluasan 900 kaki persegi, termasuk 3 bilik tidur dan 2 bilik mandi.

 

Dikenali sebagai pembangunan hartanah "mewah mampu milik", Iconic Harmony menampilkan lebih daripada 30 jenis kemudahan fasiliti, termasuk kolam renang infiniti, jakuzi, taman air kanak-kanak, bola keranjang separuh gelanggang, kawasan hijau yang subur, kawasan rekreasi, bilik gim  dan dewan komuniti.

 

Lot kedai komersial di tingkat bawah menawarkan lokasi utama untuk perniagaan yang sedang berkembang sambil menyediakan kemudahan untuk penduduk Iconic Harmony.

 

Lokasi strategik di persimpangan Jalan Rozhan dan Jalan Alma, Iconic Harmony berdekatan dengan kedai makanan dan minuman, bank, pasar basah, sekolah, Hospital Bukit Mertajam, dan pelbagai pasar raya seperti Aeon & Lotus .

 

Projek ini merupakan salah satu tambahan terkini kepada portfolio hartanah Iconic Worldwide, termasuk Iconic Point, pembangunan komersial yang terkenal di Simpang Ampat, Pulau Pinang.

 

 

Dato’ Seri Tan Kean Tet
               Dato’ Seri Tan Kean Tet

 

 

Pengerusi Eksekutif Iconic Worldwide, Dato’ Seri Tan Kean Tet berkata, dengan pelbagai kemudahan, Iconic Harmony telah direka untuk menggalakkan hubungan dan interaksi antara penduduk serta membentuk rasa komuniti dan kesepaduan.

 

"Kami telah menjalankan pelbagai usaha dalam merekabentuk kawasan dalam Iconic Harmony, termasuk halaman taman, taman air kanak-kanak dan bilik gimnasium," ujar beliau.

 

Berkenaan dengan lot komersial, disebabkan sambutan amat memberansangkan, hanya 10% daripada pemohon yang berjaya mendapatkan unit.

 

"Permintaan yang tinggi untuk unit komersial menyebabkan proses pemilihan yang kompetitif. Walaupun kami gembira untuk pembeli yang berjaya mendapatkan unit, kami juga kesal kerana tidak dapat memenuhi semua permintaan.

 

"Pihak kami ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan dan kami akan berusaha untuk menyediakan projek pembangunan yang memenuhi pelbagai keperluan pada masa akan datang."

 

Iconic Maison akan mengadakan cabutan bertuah yang mana tiga pembeli Iconic Harmony awal memandu pulang kenderaan yang hebat, anggun dan bergaya iaitu Tesla Model 3, BYD Atto 3, dan Honda WR-V, bernilai RM500,000 secara keseluruhannya. - DagangNews.com