IGB catat lonjakan untung bersih 231% kepada RM185.33 juta pada suku pertama 2024 | DagangNews Skip to main content

IGB catat lonjakan untung bersih 231% kepada RM185.33 juta pada suku pertama 2024

Segmen runcit IGB mungkin berdepan cabaran pada 2024 susulan tekanan inflasi yang boleh menjejaskan perbelanjaan pengguna. -Gambar IGB
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 28 Mei - IGB Berhad mencatatkan untung bersih sebanyak RM185.33 juta pada suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24), melonjak 231% berbanding RM56.06 juta pada setahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu pada suku yang sama melaporkan pendapatan RM416.5 juta, iaitu peningkatan sebanyak RM20.4 juta daripada suku tahun sebelumnya yang berjumlah RM396.1 juta.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, IGB berkata, pertambahan pendapatan sebanyak 5% pada suku pertama 2024 berbanding 1QFY23 disebabkan sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen runcit, komersial dan hotel.

 

Katanya, selain sumbangan semua segmen, keuntungan yang lebih tinggi pada suku semasa adalah disebabkan bahagian hasil daripada penjualan tanah oleh syarikat usaha sama sebanyak RM108.7 juta.

 

"Dalam suku kini, IGB REIT melaporkan pendapatan dan keuntungan hartanah bersih masing-masing sebanyak RM160.6 juta (1Q2023: RM153.3 juta) dan RM96.9 juta (1Q2023: RM91.0 juta), meningkat kira-kira 5% dan 6%.

 

"Peningkatan pendapatan keseluruhan, pendapatan bersih hartanah, dan untung sebelum cukai (PBT) adalah disebabkan oleh pendapatan sewa yang lebih tinggi," jelasnya.

 

Katanya, pendapatan daripada segmen hotel bagi 1QFY24 pula meningkat lebih daripada 31% kepada RM76.6 juta berbanding dengan RM58.5 juta bagi 1Q2023.

 

"Ia disumbangkan oleh peningkatan yang ketara dalam kadar penginapan," ujarnya.

 

Mengenai prospek, IGB berkata, cabaran utama kepada segmen runcit Kumpulan adalah kenaikan kos sara hidup dengan tekanan inflasi memberi kesan kepada perbelanjaan pengguna. 

 

"Bagi segmen pelaburan hartanah komersial Kumpulan, peningkatan aktiviti perniagaan yang disokong oleh pembaikan keadaan pasaran menunjukkan bahawa pasaran ruang pejabat bagi Lembah Klang menunjukkan pemulihan yang stabil dan sederhana. 

 

"Dengan permintaan yang berterusan untuk ruang pejabat, Kumpulan terus menawarkan pelbagai penyelesaian fleksibel untuk menyesuaikan perubahan dalam dinamik pasaran," katanya. - DagangNews.com