IHH raih manfaat menerusi lanjutan kerjasama dengan PLife REIT | DagangNews Skip to main content

IHH raih manfaat menerusi lanjutan kerjasama dengan PLife REIT

Gleneagles Hospital Property, salah satu hospital yang terlibat dalam lanjutan kerjasama strategik antara IHH Healthcare Bhd. dan Parkway Life Real Estate Investment Trust. - Gambar Parkway Life Reit/The Business Times 

 

 

KUALA LUMPUR 15 Julai - Lanjutan kerjasama strategik dengan Parkway Life Real Estate Investment Trust (PLife REIT) dalam perjanjian pajakan induk baharu bagi  3 hospital di Singapura, akan mengukuhkan kedudukan IHH Healthcare Bhd. di negara tersebut.

 

AmInvestment Research berkata, meskipun perjanjian ini dijangkakan tetapi ia dapat memberi peluang kepada IHH untuk memperluaskan perkhidmatan yang boleh ditawarkan kepada para pesakit, termasuk dalam dan luar negara. 

 

"Kami berpendapat, ia mampu menyediakan IHH dengan peluang yang lebih baik dalam meneroka pasaran Singapura yang kompetitif. 

 

"Bagaimanapun, setakat ini, kami mengekalkan unjuran pendapatan kerana menantikan butiran terperinci mengenai kerja-kerja bagi pengembangan perbelanjaan modal (capex)," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Semalam, IHH mengumumkan kerjasama strategik dengan PLife REIT yang mana perjanjian pajakan induk baharu itu adalah untuk tempoh kira-kira 20.4 tahun mulai 23 Ogos 2022 hingga 31 Dis 2042 dengan pilihan untuk memperbaharui bagi 10 tahun berikutnya, bermula 1 Januari 2043 hingga 31 Disember 2052.

 

Hospital yang terlibat dalam perjanjian itu adalah Mount Elizabeth Hospital Property, Gleneagles Hospital Property dan Parkway East Hospital Property.

 

Di bawah pembaharuan perjanjian perbelanjaan modal entiti itu sebagai sebahagian daripada kerjasama berkenaan, PLife REIT akan menyuntik pembaharuan capex satu kali sehingga S$150 juta, tidak termasuk cukai barangan dan perkhidmatan untuk mengubah suai hospital Singapura.

 

Selepas kerja-kerja pembaharuan capex itu selesai, hospital Singapura boleh menambah baik kedudukan kualitinya dan meningkatkan daya saing IHH Healthcare dan PLife REIT, justeru, memacu pertumbuhan  selanjutnya.

 

Sementara itu, hak penolakan pertama akan diberikan oleh Parkway Hospitals Singapore Pte Ltd, anak syarikat milik penuh Parkway Holdings Ltd kepada HSBC Institutional Trust Services (Singapore) Ltd sebagai pemegang amanah bagi pembangunan blok hospital Mount Elizabeth Novena Hospital (MENH), sekiranya hartanah MENH dijual.

 

Parkway Holdings Ltd adalah anak syarikat milik penuh tidak langsung IHH Healthcare.

 

Menurut AmInvestment, Plife telah pun meneroka 2 pasaran utama iaitu Singapura dan Jepun.

 

"Kami melihat, perancangannya untuk memasuki pasaran ketiga, memberi kelebihan kepada IHH memandangkan kedua-dua pihak mempunyai hubungan kerjasama yang erat," katanya. 

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' bagi saham IHH dengan nilai saksama RM5.64 sesaham. 

 

Setakat 10.43 pagi ini, saham IHH naik 0.71% kepada RM5.68 dengan 563,200 saham diniagakan. - DagangNews.com