IIB Ventures-MTDC bangunkan Pusat Kecemerlangan Robotik di Johor | DagangNews Skip to main content

IIB Ventures-MTDC bangunkan Pusat Kecemerlangan Robotik di Johor

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 18 Jun - Iskandar Investment Berhad (IIB) menerusi anak syarikatnya, IIB Ventures Sdn Bhd (IIB Ventures), bakal membangunkan Pusat Kecemerlangan Robotik di Medini Iskandar, Johor sebagai langkah untuk memacu pertumbuhan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) di negeri itu.

 

Ini akan dilaksanakan menerusi kerjasama Malaysian Technology Development Corporation Sdn Bhd (MTDC) yang sekali gus bakal mentransformasikan Medini Iskandar sebagai sebuah hab digital, menurut IIB.

 

Mengukuhkan lagi kerjasama itu apabila IIB Ventures dan MTDC telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) secara maya semalam.

 

Medini
KERJASAMA IIB Ventures dan MTDC akan mentransformasikan Medini Iskandar sebagai sebuah hab digital.

 

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad berkata, menerusi MoU itu, kedua-dua pihak menyasarkan untuk membangunkan 200 usahawan teknologi di Iskandar Puteri dalam tempoh lima tahun akan datang. 

 

“Ini akan dicapai menerusi program di bawah Iskandar NEXT iaitu Hab Inovasi Iskandar dan Zon Dron dan Robotik (DRZ) Iskandar, antara lainnya,” katanya dalam satu kenyataan.

 

MoU itu telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus dan Pengarah merangkan Pengarah Urusan IIB Ventures, Zulfiqar Zainuddin, serta disaksikan oleh Pengerusi MTDC, Tan Sri Abd Rahman Mamat dan Khairil Anwar.

 

MOU
MAJLIS menandatangani MoU antara IIB Ventures dan MTDC telah diadakan secara maya, semalam.

 

Kata Khairil Anwar lagi, sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, IIB juga akan menyediakan akses ke pasaran bagi peluang komersial, perkhidmatan nasihat pembiayaan, akses ke mentor industri, selain kemudahan kawal selia berkaitan buat syarikat yang bakal memasuki lokasi itu.

 

Memorandum itu menggariskan inisitif kerjasama antara kedua-dua pihak termasuk untuk memudahkan dan menyokong aktiviti sejajar dengan Center of 9 Pillars MTDC.

 

Sebagai rekod, MTDC mempunyai ekosistem, syarikat tempatan yang sememangnya telah menghasilkan penyelesaian IR4.0 termasuk robotik, robot autonomi dan dron yang dapat dikembangkan ke Pusat Kecemerlangan Robotik itu, menurut Norhalim.

 

Jelas beliau, Pusat Kecemerlangan Robotik itu akan menjadi kerjasama pertama Center of 9 Pillars MTDC dengan IIB Ventures di wilayah Selatan, seterusnya memperkukuh usaha dalam menyediakan sebuah platform buat pemain industri IR4.0 tempatan untuk berkembang.

 

Kerjasama itu juga membolehkan MTDC untuk memperkenalkan program pembangunan bakat buat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), universiti, usahawan dan pereka cipta di wilayah tersebut. 

 

Sementara itu, Pusat Kecemerlangan Robotik pula akan menawarkan program-program yang menyokong inisiatif DRZ Iskandar IIB yang disasarkan membawa masuk RM351 juta pelaburan menjelang 2025. - DagangNews.com