IILM akhiri 2022 dengan terbitan semula Sukuk jangka pendek RM5.34 bilion | DagangNews Skip to main content

IILM akhiri 2022 dengan terbitan semula Sukuk jangka pendek RM5.34 bilion

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Dis - Perbadanan Pengurusan Kecairan Islam Antarabangsa  (IILM) telah menerbitkan semula Sukuk jangka pendek berjumlah AS$1.21 bilion (RM5.34 bilion) dengan tempoh satu, tiga dan enam bulan.

 

IILM berkata, ketiga-tiga siri itu pada harga kompetitif sebanyak 4.25% untuk AS$450 juta (RM1.9 bilion) (tempoh satu bulan); 5.05% untuk AS$340 juta (RM1.5 bilion) (tempoh tiga bulan) dan 5.35% untuk AS$420 juta (RM1.85 bilion) (tempoh enam bulan).

 

Program Ṣukūk jangka pendek itu diberi penarafan “A-1” oleh S&P dan “F1” oleh Fitch Ratings.

 

“Dengan berakhirnya terbitan yang berjaya hari ini,  IILM telah mencapai terbitan terkumpul setakat ini berjumlah AS$13.88 bilion (RM61.25 bilion) dalam 37 siri Sukuk jangka pendek dalam denominasi dolar Amerika Syarikat (AS).

 

“Terbitan Sukuk IILM pada tahun ini menyumbang 39% daripada jumlah terbitan Sukuk dolar AS global,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sukuk jangka pendek IILM diedarkan oleh rangkaian pelbagai 10 peniaga utama di seluruh dunia, iaitu Abu Dhabi Islamic Bank, Al Baraka Turk, Boubyan Bank, CIMB Islamic Bank Bhd, Dukhan Bank, First Abu Dhabi Bank, Kuwait Finance House, Maybank Islamic Bhd, Qatar Islamic Bank dan Standard Chartered Bank.

 

Ketua Pegawai Eksekutif, Umar Oseniin berkata, 2022 merupakan tahun yang luar biasa untuk IILM, dengan pelbagai pencapaian utama yang mengesahkan program Sukuk jangka pendek IILM sebagai aspek penting dalam ekosistem kewangan Islam yang luas.

 

Lelongan terakhir IILM pada 2022 menyaksikan tender yang kompetitif dalam kalangan peniaga dan pelabur utama Islam di pasaran Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Asia, dengan nilai perolehan kontrak yang kukuh melebihi AS$1.71 bilion (RM7.55 bilion), mewakili purata nisbah bida kepada perlindungan sebanyak 141%.

 

“Walaupun kebimbangan berterusan mengenai kadar faedah tinggi dan kemungkinan kemelesetan global, IILM mencatatkan beberapa pelabur baharu pada tahun ini dari pelbagai negara dan wilayah di Timur Tengah, Asia, Afrika dan Eropah berikutan Sukuk IILM mendapat tarikan dalam kalangan pelbagai jenis pelabur di seluruh dunia.

 

“Dagangan pasaran sekunder Sukuk IILM berjumlah US$2.04 bilion melalui 264 dagangan pada 2022 (tertinggi pernah dicatatkan setakat ini) berbanding AS$1.5 bilion (RM6.62 bilion) melalui 150 dagangan pada 2021,” katanya.

 

Melangkah ke 2023, IILM berkata ia akan terus memberi tumpuan kepada membangunkan programnya dengan memperkenalkan ciri-ciri baharu dan mempelbagaikan asas pelaburnya, sekali gus meningkatkan kecairan untuk Sukuk IILM dalam pasaran sekunder. - DagangNews.com