IJM Corporation intai pakej pekerjaan MRT3, ECRL selain projek baharu di Indonesia- Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

IJM Corporation intai pakej pekerjaan MRT3, ECRL selain projek baharu di Indonesia- Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Jun - IJM Corporation Berhad (IJM) sedang mengintai pelbagai pakej kerja daripada Transit Aliran Massa 3 (MRT3), Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek baharu di Sabah dan Sarawak selain Indonesia.

 

Kenanga Research berkata, usaha itu dilakukan selepas kejayaan kumpulan itu meraih projek pembinaan pertama bernilai RM653.4 juta bagi FY24.

 

Firma itu juga menjangkakan pemulihan ketara dala sektor pembinaan pada separuh kedua tahun ini dan ia akan disokong oleh pelancaran projek MRT3 bernilai RM45 bilion dan enam projek tebatan banjir dilaporkan bernilai RM13 bilion.

 

Katanya, peruntukan di bawah Bajet 2023 akan mempercepatkan pembangunan kasar bernilai RM97 bilion, 35% melebihi RM71.6 bilion pada tahun lalu.

 

"Pasaran pembinaan sektor swasta rancak disokong oleh pelaburan besar-besaran dalam faundri semikonduktor baharu dan pusat data.

 

"Kami difahamkan bahawa IJM juga sedang mengintai pakej kerja daripada ECRL dan pelbagai projek di Malaysia Timur dan Indonesia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, anak syarikat milik penuh IJM memenangi kontrak bernilai RM653.6 juta untuk membangunkan fasa satu Hab Logistik Antarabangsa Shah Alam (SAILH).

 

Projek yang diberikan oleh Global Vision Logistics (GVL) kepada IJM Construction Sdn Bhd, akan mewujudkan hab logistik bertauliah hijau pertama di negara ini, antara yang terbesar di rantau ASEAN.

 

Firma itu menyukai kumpulan itu kerana prospek sektor pembinaan yang lebih baik dengan pelancaran projek infrastruktur awam yang tidak lama lagi selain keterlihatan pendapatannya yang kukuh disokong oleh pesanan pembinaan tertunggak sebanyak RM5.1 bilion.

 

Selain itu, katanya, kedudukan Pelabuhan Kuantan sebagai pelabuhan terbesar di Pantai Timur menangkap pertumbuhan aktiviti eksport dan import.

 

"Bagaimanapun, kami tetap berhati-hati terhadap penstrukturan semula Besraya dan lebuh raya bertol yang menyebabkan kerugian iaitu Lebuhraya Pantai Barat (WCE) dan Lebuhraya Kajang Seremban (juga dikenali sebagai Lekas) berikutan jumlah trafik yang rendah," katanya.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu berdepan pelbagai risiko termasuk aliran kerja pembinaan yang lemah, lebihan kos projek dan liabiliti yang timbul daripada ganti rugi pasti (LAD) dan peningkatan kos bahan binaan.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'market perform' dengna harga sasaran (TP) RM1.67 sesaham.- DagangNews.com