IJM Plantations kekal berhati-hati, tidak pasti ekonomi global pulih sepenuhnya tahun depan | DagangNews Skip to main content

IJM Plantations kekal berhati-hati, tidak pasti ekonomi global pulih sepenuhnya tahun depan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Julai - IJM Plantations Berhad (IJMP) tidak menafikan program vaksinasi akan menjadi pemangkin yang meyakinkan buat kebanyakan negara, namun syarikat perladangan itu masih berhati-hati terhadap prospek tahun kewangan 2022 (FY22). 

 

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan IJMP, Joseph Tek Choon Yee berkata, tidak pasti sekiranya ekonomi global akan kembali pulih ke paras sebelum pandemik pada tahun hadapan berikutan kemunculan gelombang kedua dan ketiga penularan COVID-19.

 

“Di dalam negara, kerajaan Malaysia terus menguatkuasakan fasa sekatan pergerakan yang berbeza termasuk penggantungan pengambilan pekerja asing dari negara sumber, dan setakat tarikh laporan, tiada tanda penangguhan itu akan ditamatkan secepat mungkin untuk menangani kekurangan pekerja di dalam industri ini. 

 

“Ini dijangka terus memberi impak kepada operasi kumpulan di Malaysia yang bergantung kepada pekerja asing, terutamanya pra syarat untuk peladang berkemahiran sawit tinggi,” katanya dalam Laporan Kewangan Tahunan 2021 IJMP yang diterbitkan di Bursa Malaysia, hari ini. 

 

Beliau menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) berprestasi pada kadar sederhana pada separuh kedua tahun 2021 (2H21) memandangkan pengeluaran memulih dengan keadaan cuaca kembali normal. 

 

Kumpulan bagaimanapun kekal positif terhadap prospek jangka masa panjang industri minyak sawit berikutan terdapat pertumbuhan berterusan dalam pendapatan populasi global dan isi rumah yang akan terus memacu serta mempertahankan permintaan komoditi itu.

 

Walaupun impak berlanjutan daripada keadaan cuaca buruk di seluruh Malaysia dan Indonesia mungkin menjejaskan pengeluaran tanaman, namun kata Choon Yee, kumpulan meramalkan pengeluaran buah tandan segar (FFB) lebih tinggi pada FY22, dipacu oleh profil umur pokok yang lebih baik di operasi Indonesia kumpulan. 

 

Bagi operasi Malaysia, pengeluaran tanaman sawit kumpulan dijangka kurang terjejas dengan aktiviti penanaman semula yang berterusan, ujar beliau lanjut.

 

“Sementara itu, kumpulan akan meneruskan penumpuan berdedikasi terhadap baja, penuaian dan pemindahan buah serta peningkatan mekanisasi untuk mencapai keberkesanan operasi yang lebih baik serta memacu prestasi ke tahap lebih tinggi. 

 

“Kumpulan yakin bahawa penambahbaikan berterusan dalam produktiviti dan pelaksanaan amalan pengurusan terbaik bersama-sama strategi keberkesanan kos, akan membantu menangani cabaran pada masa akan datang. 

 

“Pelan untuk kumpulan adalah memanfaatkan kecemerlangan operasi menerusi rantaian bekalan untuk mencapai dan mempertahankan produktiviti serta mencapai keberkesanan kos, di samping mengekalkan matlamat untuk mewujudkan dan memulihara masa depan mampan,” katanya lagi. - DagangNews.com