IMF ramal ekonomi Malaysia 2021 berkembang 6.5% | DagangNews Skip to main content

IMF ramal ekonomi Malaysia 2021 berkembang 6.5%

 

 


KUALA LUMPUR 18 Mac - Ekonomi Malaysia akan mencapai pemulihan tahun ini dengan pertumbuhan diunjur berkembang 6.5%, ramal Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). 

 

Menurut lembaga eksekutif IMF dalam kenyataan, sektor pembuatan dan pembinaan akan menjadi pemacu ke arah landasan pemulihan yang kukuh. 

 

"Bagaimanapun, pemulihan ini dijangka tidak sekata merentasi sektor, bergantung kepada permintaan domestik dan luaran. 

 

"Inflasi pula akan memulih kepada 2% manakala lebihan akaun semasa akan menurun memandangkan permintaan untuk produk berkaitan dengan pandemik mulai surut manakala kenaikan permintaan dalam negeri meningkatkan import," katanya.

 

Badan dunia itu melihat, ekonomi Malaysia yang kukuh terjejas teruk apabila pandemik COVID-19 mula menyerang.

 

Ia menyebabkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menyusut pada anggaran 6% tahun lalu apabila pelaburan dan penggunaan swasta yang menjadi pemacu pertumbuhan, merosot dengan mendadak. 

 

Malah, katanya, kadar pengangguran mencapai paras tertinggi dalam sejarah pada Mei 2020 dan inflasi juga melemah.

 

Pada Mac 2020, risiko global mencetuskan aliran keluar modal daripada pasaran baharu muncul seperti Malaysia tetapi tindak balas global yang pantas membantu menstabilkan pasaran dengan aliran masuk bermula hujung April.

 

"Dasar monetari, fiskal dan kewangan Malaysia yang kukuh banyak membantu menampan kejutan pandemik ini dan memastikan kestabilan kewangan. 

 

"Akaun semasa mengalami lebihan berikutan peningkatan permintaan luaran bagi produk berkaitan pandemik bagi kesihatan dan peralatan elektronik serta import yang lemah," katanya.  

 

Dengan menilai ekonomi Malaysia, para pengarah eksekutif menyambut baik tindak balas dasar yang diselaraskan oleh kerajaan terhadap pandemik COVID-19, beserta penampan yang besar, secara tidak langsung membantu mengurangkan impak makro kewangan ketika krisis.

 

"Namun, pemulihan yang kukuh tahun ini masih kekal berdepan dengan risiko penurunan dan menyedari bahawa dasar makroekonomi akan terus menyokong sehingga pemulihan sepenuhnya dilaksanakan," katanya. 

 

Malah, komitmen kerajaan untuk membentuk pembaharuan fiskal dan pengukuhan tempoh sederhana disambut baik oleh IMF dan melihat rasionalisasi perbelanjaan dan langkah meningkatkan pendapatan adalah perlu bagi membina semula penampan fiskal setelah pemulihan sepenuhnya diselesaikan.

 

Malaysia juga digesa untuk memulakan persiapan bagi langkah-langkah tersebut dan menyatakan bahawa Akta Tanggungjawab Fiskal akan membantu meningkatkan kewangan awam dengan lebih baik, tambah kenyataan itu. 

 

Dalam masa sama, kerajaan juga diharapkan dapat meningkatkan kecekapan dan liputan untuk sistem perlindungan sosial termasuk terus membenarkan kadar tukar asing menjadi penampan kepada kejutan ekonomi.

 

IMF juga menekankan, langkah aliran modal sedia ada perlu dihentikan dari semasa ke semasa ekoran persekitaran pasaran. - DagangNews.com