KUALA LUMPUR 2 Jun - Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjadi sederhana kepada 4.5% pada 2023 kesan daripada cabaran global.
Lembaga Eksekutif IMF dalam satu kenyataan berkata, inflasi diunjurkan kekal tinggi pada 3.3% pada tahun ini dengan kemungkinan berterusan dalam inflasi teras.
Katanya, bagi jangka sederhana, lebihan akaun semasa diunjur meningkat apabila sekatan perjalanan berkaitan pandemik ditarik balik, membawa kepada peningkatan imbangan perkhidmatan dan import menjadi sederhana.
IMF berkata, Malaysia mencatatkan pemulihan yang kukuh selepas pandemik pada 2022.
Katanya, selepas pemulihan sederhana pada 2021, pertumbuhan meningkat semula dengan kukuh pada 2022 didorong permintaan domestik dan prestasi eksport yang berdaya tahan berikutan pembukaan semula ekonomi pada April tahun sama.
IMF berkata, prospek jangka pendek negara kelihatan mencabar akibat faktor luaran.
"Risiko luaran termasuk kemungkinan kelembapan atau kemelesetan global yang mendadak dengan lonjakan berkaitan dalam risiko global, aliran keluar modal dan risiko lain.
"Cabaran geoekonomi dan konflik geopolitik mengakibatkan gangguan perdagangan, bekalan dan peningkatan kos input yang boleh menjejaskan prospek pertumbuhan," katanya.
IMF juga menggesa pihak berkuasa supaya bersedia untuk menguruskan risiko penurunan dan pertukaran dasar jika dan apabila diperlukan.
Katanya, dasar monetari perlu diperketatkan lagi untuk membawa pendirian neutral dan Bank Negara Malaysia (BNM) perlu terus menyampaikan dengan jelas rasional bagi keputusan dasarnya memandangkan landskap yang tidak menentu.
"Dasar monetari yang lebih ketat akan memastikan jangkaan inflasi kekal kukuh selain mewujudkan ruang bagi dasar monetari untuk bertindak balas terhadap risiko penurunan.
"Kadar pertukaran yang fleksibel telah memberi perkhidmatan yang baik kepada Malaysia, dan komitmen berterusan pihak berkuasa terhadap fleksibiliti kadar pertukaran adalah dialu-alukan," katanya. - DagangNews.com