Impak COVID-19 terhadap sektor penternakan di Sabah | DagangNews Skip to main content

Impak COVID-19 terhadap sektor penternakan di Sabah

 Dr Edwin Jack Bosi meninjau dekat lembu di sebuah ladang penternakan di Sabah.

 

 

Oleh DOMINIC G. JOSEPH
editor@dagangnews.com

 

 

KOTA KINABALU 20 Ogos - Sektor penternakan di Sabah berdepan dengan kesulitan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mungkin menjejaskan rantaian pembekalan makanan, kata seorang doktor haiwan.

 

Dr Edwin Jack Bosi D.V.M. seorang pakar bedah veterinar dan konsultant untuk hal ehwal penternakan berkata, pasaran untuk daging lembu dan lain-lain hasil ternakan tidak dapat dihantar ke pengedar-pengedar tertentu disebabkan oleh PKP.

 

Menurut beliau, keadaan ini menyebabkan simpanan stok berlebihan dan untuk jangka masa yang panjang pengusaha ternakan akan mengalami kerugian yang besar.

 

Pada dasarnya ujar beliau, aktiviti ternakan masih boleh dijalankan, tetapi pemasaran berhenti seketika atau diperlahankan disebabkan oleh PKP dan keadaan pandemik yang tidak menentu (turun naik kes positif).

 

Beliau berkata, pelbagai insentif dan peraturan berkaitan sektor ternakan telah dilaksanakan bagi memastikan sektor ini akan terus berkembang pada masa akan datang.  Kerajaan semasa dan pengusaha boleh merancang untuk kejayaan masa depan. 

 

''Bantuan kewangan yang diberikan oleh kerajaan tidak mencukupi jika masalah pandemik ini berterusan dan masa pemulihan untuk mengatasi COVID-19 yang tidak menentu.

 

''Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menjejaskan kehidupan seharian ramai rakyat jelata. Hasil pendapatan dari sektor penternakan turut terjejas disebabkan oleh PKP,'' katanya kepada DagangNews, baru-baru ini. 

 

 

Dr Edwin Jack Bosi
ANTARA tugas tetap Dr Edwin Jack Bosi memeriksa lembu di ladang-ladang di Sabah dari segi kesihatan bagi memastikan selamat dimakan. 

 

 

Dr Edwin telah menulis dua buah buku yang bertajuk 'Sumatran Rhino Of Sabah (A Sweet & Bitter Story)' dan  'Pygmy Elephants Of Borneo (A Race Against Extinction)'. Baru-baru ini, Dr Edwin telah menerima pengiktirafan yang tertinggi dari Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (MAVMA) apabila dianugerahkan dengan Anugerah Mengenang Jasa (AMJ) 2021. 

 

Beliau berkata, semasa pandemik COVID-19 kini kehidupan seharian tiap-tiap individu termasuk kaum petani disekat atau diganggu. Aktiviti-aktiviti harian dihadkan dan pergerakan merentas desa untuk urusan hasil penternakan menjadi satu cabaran.

 

"Misalnya, lawatan saya ke ladang penternakan yang terletak di Pantai Timur Sabah yang saya harus lakukan untuk  pemeriksaan ternakan lembu dan kerbau dalam tempoh dua bulan terpaksa ditundakan," kata beliau.

 

Pada masa yang sama surat izin untuk perjalanan mestilah diperoleh dari pejabat polis daerah. Pada masa pandemik ini pergerakan di kawasan ladang ternakan mesti tertakluk kepada SOP. 

 

Penghantaran beberapa keperluan ladang seperti blok garam PKC, alat pertanian dan ubat-ubatan tidak dapat dilakukan dengan mudah. Oleh yang demikian, doktor haiwan juga berhadapan dengan pelbagai masalah untuk merawat haiwan-haiwan di ladang penternakan. 

 

"Tetapi setakat ini perkara yang paling penting ialah untuk memutuskan rangkaian virus COVID-19 dengan mendapat vaksin yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Untuk pemulihan ekonomi negara kerjasama dari semua lapisan masyarakat diperlukan," kata Dr Edwin. - DagangNews.com