Oleh NABILA YASMIN RAZIB
KUALA LUMPUR 29 Sept. - Impiana Hotels Bhd mengumumkan telah memulakan projek pembangunan Impiana Resort & Residences Cherating, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM380 juta.
Pengerusi Eksekutif Impiana, Datuk Seri Ismail @ Farouk Abdullah berkata, GDV tersebut adalah lebih dua kali ganda daripada modal pasarannya yang bernilai kira-kira RM118 juta.
"Impiana Cherating akan terletak di tanah seluas 30 ekar di tepi pantai dan menawarkan suite dan vila mewah serta restoran antarabangsa, bar dan kolam renang, barbekyu di tepi pantai, bar lounge dan spa dan akan dibangunkan dalam tiga fasa yang dijangka siap menjelang 2023," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut kumpulan itu, permintaan bagi resort itu amat menggalakkan dengan keseluruhan fasa 1 dengan anggaran GDV sebanyak RM154.4 juta telah diambil oleh dua pihak.
"Silver Max Asia Pacific Labuan Ltd telah membuat pembelian sebanyak 126 unit secara keseluruhan sementara unit selebihnya dengan lapan vila eksklusif telah diserahkan kepada pembeli lain.
"Fasa 2 dan 3 dengan anggaran gabungan GDV sebanyak RM225 juta, akan dibangunkan bersama antara Artha Global Sdn Bhd dan Impiana," katanya.
"Kami telah memulakan projek ini dengan penjualan keseluruhan fasa 1 yang memberi isyarat kuat kepada pasaran bahawa industri pelancongan masih mendapat sambutan.
"Kumpulan optimis dengan potensi jualan fasa 2 dan 3 memandangkan penerimaan yang memberangsangkan pada fasa sebelumnya," katanya. -DagangNews.com