Inari terima manfaat besar daripada peningkatan perbelanjaan pusat data, AI - PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Inari terima manfaat besar daripada peningkatan perbelanjaan pusat data, AI - PublicInvest

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Julai - Inari Amertron Bhd diunjur menjadi penerima manfaat besar daripada peningkatan perbelanjaan pusat data (DC) dan kecerdasan buatan (AI) kerana segmen komunikasinya menyumbang 14% daripada jualan keseluruhan kumpulan itu. 

 

Public Investment Bank Bhd (PeublicInvest) berkata, terdapat kemungkinan peningkatan penggunaan sambungan optik dalam pusat data AI bagai memenuhi keperluan jalur lebar tinggi, penerima gentian optik, modul optik berkelajuan tinggi dan produk suis pengaturcara.

 

"Semua ini memainkan peranan penting dalam penghantaran data berkelajuan tinggi.

 

"Selain itu, pihak pengurusan sedang meneliti ujian dan pembungkusan produk berkaitan AI, yang boleh memberikan potensi besar kepada kumpulan memandangkan penggunaannya yang meluas Ketika ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu yakin, penggunaan ciri AI dalam model telefon pintar akan membawa kepada permintaan global yang lebih kukuh.

 

Katanya, keadaan itu didorong oleh sikap pengguna yang lebih cenderung untuk menggantikan telefon pintar mereka apabila terdapat sesuatu kejayaan dalam teknologi baharu.

 

"Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan segmen frekuensi radio (RF) kekal sebagai pemacu pertumbuhan utama untuk Inari.

 

"Keadaan itu disokong prospek yang cerah dan sentimen positif untuk sektor teknologi, kami juga mengekalkan saranan 'outperform' selain meningkatkan harga sasaran (TP) kepada RM3.73 kepada RM4.55 sesaham.

 

"Pada masa sama, kami menyemak naik unjuran pendapatan FY25-FY26 kumpulan itu antara 1% hingga 7%," katanya.- DagangNews.com