Indeks Daya Huni akan menjadi pengukuran berimpak tinggi kepada PBT- PM | DagangNews Skip to main content

Indeks Daya Huni akan menjadi pengukuran berimpak tinggi kepada PBT- PM

 


NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Nov - Indeks Daya Huni Malaysia yang dilancarkan hari ini akan menjadi pengukuran berimpak tinggi kepada semua lokaliti khususnya kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia dalam memastikan perancangan perbandaran khususnya dirangka dengan mengambil kira semua kriteria bawah Rancangan Fizikal Negara Ke-4 (RFN Ke-4) .

 

"Daya Huni atau Livability menjadi instrumen penting dalam menarik pelabur termasuk soal last-mile connectivity, akses kepada internet, akses kepada kemudahan awam dan pelbagai lagi faktor yang diambil kira dengan menjadikan rakyat sebagai teras utama penerima manfaat.

 

"Bagi melihat keseluruhan pelaksanaan RFN Ke-4 serta aspek daya huni yang boleh memberi nilai tambah dalam merancakkan ekonomi negara, saya umumkan bahawa satu Indeks Daya Huni Malaysia atau Malaysia Livability Index akan diperkenalkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui peranan PLANMalaysia," katanya dalam ucapan perasmian Majlis Sambutan 100 tahun Perancang Bandar di Malaysia sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia tahun 2021 Peringkat Kebangsaan, di sini, hari ini.

 

Perdana Menteri memberitahu, KPKT melalui PLANMalaysia sudah memuktamadkan dokumen RFN Ke-4 yang menggariskan dasar pembangunan spatial negara selaras dengan Rancangan Malaysia Lima Tahun atau RMKe-12.

 

Beliau berkta, RFN Ke-4 telah dirangka dengan tiga Teras Pembangunan Utama, 11 Hala Tuju Strategik dan 39 Tindakan Pelaksanaan bagi memastikan Malaysia mampu menjadi sebuah negara makmur (prosperous nation) dan berdaya tahan (resilient) dari segi ekonomi, alam sekitar dan keseimbangan sosial, demi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia keseluruhannya. 

 

"Ia juga menterjemahkan komitmen negara di peringkat global seperti New Urban Agenda (atau NUA) dan Sustainable Development Goals (atau SDGs) serta berperanan menjadi instrumen penyelarasan pembangunan di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

 

"Oleh sebab itu juga, RFN Ke-4 hendaklah menjadi satu rolling-plan strategik dalam merealisasikan aspirasi Malaysia Berdaya Huni atau Liveable Malaysia melalui kesemua teras yang menjadikan Keluarga Malaysia sebagai penerima manfaat utama," katanya.

 

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, profesion perancang bandar ini dianggap sebagai the silent hero yang menjadi titik mula kesemua pembangunan fizikal negara yang merangkumi pelbagai perncangan secara menyeluruh di semua peringkat Kerajaan.

 

Beliau berkata, dalam tempoh 100 tahun, profesion ini telah mempunyai akta profesional sendiri iaitu Akta Perancang Bandar 1995 (atau Akta 538) dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (atau Akta 172) yang telah diterima pakai di semua negeri di semenanjung Malaysia.

 

"100 tahun bukan perjalanan yang singkat.  Ini bermaksud, profesion perancang bandar sudah melalui evolusi dan transformasi yang cukup panjang dalam membina negara tercinta.

 

"Di kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua perancang bandar, sama ada yang bertugas di peringkat persekutuan, negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), NGO, atau perunding-perunding swasta; baik yang masih berkhidmat mahu pun yang sudah bersara," katanya.-DagangNews.com