Indeks Harga Pengeluar Malaysia meningkat 1.6% pada Jun 2024 dengan semua sektor catat kenaikan bulan keempat berturut-turut, kata DOSM | DagangNews Skip to main content

Indeks Harga Pengeluar Malaysia meningkat 1.6% pada Jun 2024 dengan semua sektor catat kenaikan bulan keempat berturut-turut, kata DOSM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Julai - Indeks Harga Pengeluar Malaysia (IHPR) yang mengukur perubahan harga barangan di peringkat pengeluar, meningkat 1.6% pada Jun 2024 berbanding 1.4% pada bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, sama seperti bulan sebelumnya, semua sektor mencatatkan peningkatan pada Jun 2024.

 

Beliau berkata, sektor perlombongan terus meningkat 4.6% dengan indeks pengekstrakan gas asli dan pengekstrakan petroleum mentah masing-masing meningkat sebanyak 4.6% dan 4.5%. 

 

Katanya, sektor pertanian, perhutanan & perikanan meningkat 3.4% (Mei 2024: 1.3%) disumbangkan indeks penanaman tanaman kekal (7.5%) dan pengeluaran ternakan (1.7%). 

 

"Pada masa yang sama, sektor pembuatan meningkat 1.1% (Mei 2024: 1%) disumbangkan oleh indeks pembuatan komputer, produk elektronik & optikal (9.6%). 

 

"Bagi sektor utiliti, indeks bekalan air naik 7.8%, manakala indeks bekalan elektrik & gas meningkat 1%," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

dosm

 

Mohd Uzir berkata, pada asas bulanan, IHPR pengeluaran tempatan turun negatif 0.1% daripada penurunan negatif 0.9% yang dicatatkan pada Mei 2024. 

 

Beliau berkata, penurunan ini dipengaruhi sektor perlombongan yang turun negatif 3.4% (Mei 2024: -5.5%), disebabkan oleh indeks pengekstrakan gas asli (3.7%) dan pengekstrakan petroleum mentah (-3.3%). 

 

Katanya, sektor pertanian, perhutanan & perikanan meningkat 4.6% berbanding bulan sebelumnya dengan sebahagian besarnya disebabkan oleh indeks penanaman tanaman kekal (2%). 

 

"Begitu juga, sektor pembuatan meningkat perlahan -0.1% (Mei 2024: -0.1%) disebabkan oleh indeks pembuatan komputer, produk elektronik & optikal (1.3%). 

 

"Sementara itu, indeks bekalan elektrik & gas mencatatkan penurunan -1.1% dan bekalan air kekal meningkat 0.1% (Mei: 1.4%)," katanya.

 

Mengenai harga komoditi tempatan, Mohd Uzir berkata, purata harga minyak sawit mentah (MSM) pada Mei 2024 ialah RM3,960 setiap tan, peningkatan daripada RM3,900 satu tan pada bulan sebelumnya.

 

Beliau berkata, kenaikan harga ini disebabkan bekalan yang dijangka terhad dari Malaysia dan Indonesia menjelang akhir 2024, ditambah dengan peningkatan eksport minyak sawit. 

 

Katanya, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) menyatakan bahawa, walaupun harga mungkin mengalami sedikit peningkatan, tetapi dijangka kekal di bawah RM4,150 satu tan.- DagangNews.com