Indeks nilai seunit eksport Malaysia naik 0.5%, import 1% pada Ogos 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Indeks nilai seunit eksport Malaysia naik 0.5%, import 1% pada Ogos 2023 - DOSM

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 27 Sept - Nilai eksport Malaysia pada Ogos 2023 mencatat peningkatan marginal sebanyak 0.5% kepada 142.3 mata berbanding bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Peningkatan tersebut disumbangkan oleh minyak galian dan makanan yang masing-masing menokok sebanyak 5% dan  0.3%, katanya dalam kenyataan Indeks Perdagangan Luar Negara hari ini.

 

Bagaimanapun, indeks volum eksport turun 1.9% pada bulan sama selaras dengan penyusutan indeks bahan mentah tidak boleh dimakan sebanyak 11% dan alat jentera serta kelengkapan pengangkutan sebanyak 10.7%.

 

Indeks nilai seunit import turut meningkat 1% pada Ogos 2023, disumbangkan oleh peningkatan indeks minyak, lemak binatang dan sayur-sayuran (9.6%), minyak galian (7%) dan makanan (0.3%).

 

Selain itu, indeks volum import merosot 2.6% pada Ogos 2023 berbanding bulan sebelumnya berikutan kemorosotan indeks minyak galian (-17.1%), bahan kimia (-3%) dan barang-barang keluaran kilang (-2.7%).

 

Menurut DOSM, terma perdagangan Malaysia turun 0.5% bulan ke bulan kepada 110.5 mata pada Ogos 2023, didorong oleh kejatuhan indeks minyak, lemak binatang dan sayur-sayuran (-9.2%), minyak galian (-1.9%) dan pelbagai barang keluaran kilang (-0.9%), lapor Bernama.

 

 

dosm

 

 

Terma perdagangan Malaysia bagi tahun ke tahun turut susut 1.3 peratus daripada 111.9 mata pada Ogos 2022. - DagangNews.com