Indeks Pengeluaran Perindustrian meningkat 5.3% pada Julai 2024, dipacu pertumbuhan kukuh Sektor Pembuatan - DOSM | DagangNews Skip to main content

Indeks Pengeluaran Perindustrian meningkat 5.3% pada Julai 2024, dipacu pertumbuhan kukuh Sektor Pembuatan - DOSM

Indeks Perlombongan menurun 2.1 peratus bulan ke bulan, berbanding pertumbuhan positif 4.0 peratus pada bulan sebelumnya. - Gambar Jonathan Gong/Unsplash
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 10 Sept – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 5.3 peratus pada Julai 2024, dipacu oleh pertumbuhan kukuh output Sektor Pembuatan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini menumpu kepada sektor perlombongan, pembuatan dan elektrik.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, IPP meningkat sebanyak 5.3 peratus pada Julai 2024 selepas mencatatkan pertumbuhan 5.0 peratus pada bulan sebelumnya.

 

Katanya, pengembangan ini dipacu oleh peningkatan kukuh output Pembuatan sebanyak 7.7 peratus (Jun 2024: 5.2%) dan pertumbuhan output Elektrik sebanyak 7.0 peratus (Jun 2024: 3.5%).

 

Sementara itu, pengeluaran sektor Perlombongan menurun 5.0 peratus berbanding pertumbuhan positif 4.9 peratus pada Jun 2024. Perbandingan dengan bulan sebelumnya, IPP menurun 1.5 peratus daripada pertumbuhan 4.8 peratus pada bulan sebelumnya.

 

Kedua-dua industri berorientasikan eksport dan domestik menunjukkan prestasi yang baik pada Julai 2024 dengan masing-masing merekodkan pertumbuhan 7.8 peratus (Jun 2024: 5.4%) dan 7.5 peratus (Jun 2024: 4.6%).

 

 

dosm

 

 

Pertumbuhan industri berorientasikan eksport disokong oleh pengembangan merentasi semua industri, terutamanya oleh pertumbuhan dua digit dalam Pembuatan minyak & lemak daripada sayuran & haiwan sebanyak 21.9 peratus (Jun 2024: 11.0%); dan diikuti oleh Pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal sebanyak 5.0 peratus (Jun 2024: 4.9%).

 

Selain itu, Pembuatan kok dan produk petroleum bertapis turut kekal tinggi, dengan pertumbuhan sebanyak 11.7 peratus (Jun 2024: 12.5%).

 

Pertumbuhan tahun ke tahun industri yang berorientasikan eksport dicerminkan oleh prestasi eksport barangan perkilangan negara, yang meningkat 10.6 peratus pada Julai 2024.

 

Perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport menurun 3.3 peratus daripada pertumbuhan 11.8 peratus pada Jun 2024.

 

Peningkatan dalam industri berorientasikan domestik didorong terutamanya oleh pertumbuhan kukuh dalam Pembuatan produk galian bukan logam lain; dan Pembuatan logam asas, yang masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 12.2 peratus dan 10.5 peratus.

 

Tambahan lagi, Pembuatan kenderaan bermotor, treler & semi treler memulih dengan pertumbuhan 3.9 peratus (Jun 2024: -10.7%). Berbanding dengan bulan sebelumnya, industri berorientasikan domestik meningkat 1.0 peratus (Jun 2024: -5.4%).

 

Dr. Mohd Uzir berkata, penurunan 5.0 peratus dalam sektor Perlombongan adalah berikutan penyusutan 5.4 peratus (Jun 2024: 6.0%) pengeluaran Gas Asli dan kejatuhan 4.4 peratus (Jun 2024: 3.4%) dalam output Minyak Mentah & Kondensat pada bulan tersebut.

 

Indeks Perlombongan menurun 2.1 peratus bulan ke bulan, berbanding pertumbuhan positif 4.0 peratus pada bulan sebelumnya. Sementara itu, penjanaan Elektrik meningkat 7.0 peratus (Jun 2024: 3.5%) tahun ke tahun pada Julai 2024. 

 

Perbandingan bulan ke bulan, indeks Elektrik memulih 5.4 peratus (Jun 2024: -6.2%)."

 

Di peringkat global, IPP bagi beberapa negara meningkat pada Julai 2024, termasuk Korea Selatan, Singapura, Jepun, Vietnam, dan Thailand, dengan pertumbuhan yang lebih perlahan dilihat di China dan Taiwan.

 

Sebaliknya, Amerika Syarikat mengalami penurunan marginal pada Julai 2024.

 

Merumuskan kenyataan beliau, Ketua Perangkawan berkata, “Bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini (Januari – Julai 2024), IPP meningkat 4.1 peratus (Januari – Julai 2023: 1.1%) dengan kesemua sektor mencatatkan peningkatan, iaitu indeks Perlombongan (2.9%); indeks Pembuatan (4.1%); dan indeks Elektrik (7.1%).” - DagangNews.com