India intai peluang tawar peluru berpandu BrahMos pada Sukhoi TUDM | DagangNews Skip to main content

India intai peluang tawar peluru berpandu BrahMos pada Sukhoi TUDM

Pesawat Sukhoi SU-30MKI semasa melancarkan peluru berpandu BrahMos.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 22 Ogos - India sedang mengintai peluang untuk memasarkan peluru berpandu BrahMos kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya dalam memperkasakan pertahanan maritim.

 

Memetik laman web pertahanan, Defense Security Asia, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dipercayai telah menyatakan minat bagi mendapatkan sistem peluru berpandu tersebut.

 

Jenis yang diinginkan ialah varian BrahMos 'Air Launched Cruise Missile' (ALCM) untuk dilengkapkan pada pesawat pejuang superioriti Sukhoi SU-30MKM.

 

 

BrahMos adalah sistem peluru berpandu supersonik antara yang terbaik dalam kategorinya.

 

 

Kapal
Sistem peluru berpandu BrahMos mempunyai pelbagai varian seperti dilancarkan daripada pesawat, kapal dan lancaran darat.

 

Peluru berpandu berkeupayaan Mach 3 dengan jarak penembakan sejauh 290 kilometer (km) ini sekirannya dibeli ATM dapat melonjakkan keupayaan serangan maritim dari udara.

 

Walau pun BrahMos boleh dipasang dan dilancarkan daripada Sukhoi SU-30MKM, namun pesawat sedia ada perlu melalui proses modifikasi agar boleh diintegrasikan dengan sistem BrahMos.

 

Ini bukanlah proses mudah tetapi boleh dilakukan oleh India menerusi firma Hindustan Aeronautics Limited (HAL).

 

Kemampuan HAL tidak dipertikaikan kerana sebahagian besar daripada 260 buah pesawat Sukhoi SU-30MKI dibina dan dipasang di sini.

 

Tentera Udara India (IAF) misalnya terpaksa melakukan proses mengukuhkan struktur pesawat Sukhoi SU-30MKI sebelum membawa peluru berpandu seberat 2.5 tan itu. 

 

Pesawat
Pesawat Sukhoi SU-30MKM.

 

Pesawat
Gabungan pesawat Sukhoi SU-30MKM TUDM dan SU-30MKI IAF semasa terlibat dalam latihan bersama.

 

Ini melibatkan pengubahsuaian yang kompleks pada kerangka udara pesawat untuk menahan daya kekuatan semasa peluru berpandu dilancarkan.

 

Memandangkan persamaan antara SU-30MKI dan SU-30MKM, maka TUDM berkemungkinan perlu melibatkan HAL bagi proses modifikasi ini.

 

Perkara tersebut tidak menjadi masalah kerana kedua-dua pihak iaitu TUDM dan IAF mempunyai hubungan yang baik sehingga pada peringkat negara dengan negara.

 

Tambahan India merupakan salah satu negara sahabat yang mempunyai kerjasama pertahanan secara langsung dengan Malaysia.

 

Pembelian BrahMos jika menjadi kenyataan memerlukan perbelanjaan yang besar termasuk proses modifikasi pesawat Sukhoi SU-30MKM, namun kelebihannya pada pertahanan negara sangat tinggi.

 

Pesawat

 

Pemilikan sistem BrahMos ALCM ini bakal menyediakan TUDM dengan peningkatan yang ketara dalam keupayaan pertahanan udara maritim di rantau ini.

 

Ketika ini Filipina menjadi pemilik tunggal sistem BrahMos di Asia Tenggara apabila memuktamadkan perjanjian pembelian peluru berpandu supersonik BrahMos bernilai AS$374 juta.

 

Filipina memilih peluru berpandu BrahMos lancaran di darat sebagai sistem pertahanan pantai.

 

Peluru berpandu BrahMos dibangunkan bersama di bawah usaha sama India-Rusia oleh pihak DRDO dan NPO yang berasaskan pada sistem Yakhont.

 

Generasi baharu BrahMos pula dikatakan mempunyai kelajuan sehingga 3.5 Mach selain mempunyai keratan rentas radar yang lebih kecil.

 

Pesawat
BrahMos dibangunkan menerusi usaha sama India-Rusia.

 

Kapal
Ujian penembakan peluru berpandu BrahMos di laut.

 

Terdapat juga varian BrahMos NG yang lebih ringan dan kompak serta boleh dipasang pada platform berbeza.

 

Sebenarnya, India melalui DRDO sejak 17 tahun lalu giat mempromosikan peluru berpandu BrahMos kepada ATM sebagai sistem pertahanan maritim.

 

Sepanjang tempoh itu juga DRDO tidak ketinggalan untuk hadir di Malaysia sama ada semasa pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Aeroangkasa dan Maritim Langkawi (LIMA) membawa BrahMos.

 

Selain Malaysia, pada masa sama firma ini mengintai peluang untuk memasarkan sistem persenjataan tersebut kepada negara serantau lain termasuklah Indonesia.

 

Sekiranya benar BrahMos ingin dibeli, ini juga merupakan peluang terbaik kepada industri pertahanan tempatan termasuk institusi pengajian tinggi yang mempunyai tenaga mahir dalam teknologi roket untuk meneroka kepakaran. - DagangNews.com