Industri EV rantau ASEAN dijangka berkembang pesat tidak lama lagi - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Industri EV rantau ASEAN dijangka berkembang pesat tidak lama lagi - RHB Investment

KUALA LUMPUR 5 Dis - RHB Investment mengunjurkan industri kenderaan elektrik (EV) di rantau ASEAN bakal berkembang pesat tidak lama lagi.

 

Katanya, nilai pasaran EV ASEAN mencecah AS$10 bilion (RM46.62 bilion) pada 2021 dan diunjurkan berkembang pada Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) lebih 10% sepanjang tempoh lima tahun berikutnya dengan sasaran pasaran pada AS$18 bilion (RM83.9 bilion) menjelang 2027.

 

"Dalam kelompok negara MIST (Malaysia-Indonesia-Singapura-Thailand), Indonesia dan Thailand bukan sahaja menjadi negara yang menerima manfaat pada peringkat Asia, tetapi juga pada peringkat dunia. 

 

"Malaysia dijangka mampu mengejar kedudukan kedua-dua negara jiran terbabit menerusi pelaksanaan dasar kerajaan yang lebih membantu," katanya dalam nota penyelidikan, lapor Berita Harian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan segmen EV dijangka mewujudkan peluang yang lebih besar kepada pasaran.

 

"Menurut laporan Unjuran EV Global 2023, jualan EV dunia dijangka meningkat sekitar empat kali ganda dari 2022 ke 2030. 

 

"Walaupun China, Eropah, dan Amerika Syarikat (AS) bakal menjadi tiga pasaran pengguna terbesar, persekitaran rantau ini yang menyumbang bekalan komponen utama kini masih lagi tepu seperti China yang menguasai seluruh rantaian bekalan bateri EV hiliran dan menjual bateri dan komponen EV.

 

"Dengan ini, kami ramalkan Asia membuka pintu peluang yang besar untuk pertumbuhan penggunaan EV dan setelah melihat betapa peri pentingnya peranan Asia dalam pembuatan komponen automotif dan mineral berkaitan bateri, kami berpandangan bahawa ASEAN boleh menjadi lokasi yang menarik sebagai pusat kegiatan untuk pembekalan komponen utama EV," katanya.

 

Bank pelaburan itu menjelaskan, ASEAN sudah memainkan peranan pentingnya dalam rantai bekalan EV dengan banyak negara rantau itu menawarkan insentif dan giat memberikan sokongan pada pelaburan langsung asing (FDI) dalam membantu pengeluaran EV, sambil menggesa pengguna supaya membeli EV.

 

"Sejak 2019, kemasukan pesat pelaburan membabitkan EV ke rantau ini jelas kelihatan. Malah setakat ini, 10 pengeluar teratas EV di ASEAN juga menempatkan sembilan daripada 10 pengilang bateri EV teratas dunia," katanya.

 

Bagaimanapun, bank pelaburan itu mendedahkan terdapat risiko utama yang menjelaskan pertumbuhan EV termasuk konflik antara AS dengan China semakin meruncing.

 

"Penemuan teknologi baharu membawa kepada penurunan kos dalam pembuatan EV di serata dunia juga menjadi risiko utama. Malah penemuan teknologi saingan yang alternatif dan pindaan dasar yang kerap serta tidak menguntungkan juga diambil kira. 

 

"Kemungkinan permintaan untuk EV lemah di rantau ASEAN juga boleh menjadi risiko," katanya.- DagangNews.com