Industri peruncitan Malaysia 2024 diramal tumbuh perlahan, jualan bukan makanan bakal terjejas - Aeon | DagangNews Skip to main content

Industri peruncitan Malaysia 2024 diramal tumbuh perlahan, jualan bukan makanan bakal terjejas - Aeon

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 24 April - Aeon Co (M) Berhad menjangkakan industri peruncitan Malaysia bakal mengalami kadar pertumbuhan lebih perlahan pada tahun 2024 antaranya akibat tekanan kos sara hidup yang tinggi dan kelemahan nilai mata wang ringgit.

 

Pengarah Urusannya, Naoya Okada berkata, di samping itu, ketegangan geopolitik yang berterusan juga memberi kesan kepada rantaian bekalan global.

 

"Sentimen pengguna dan perbelanjaan mengikut budi bicara juga mungkin terjejas oleh semakan kadar cukai perkhidmatan pada 2024 bersama-sama dengan jangkaan pelancaran rasionalisasi subsidi pada separuh kedua tahun ini," katanya.

 

Beliau berkata demikian Laporan Tahunan Aeon 2023 yang difailkan kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Menurut Naoya, dalam tahun kewangan 2023 (FY2023) juga telah menyaksikan penurunan jualan dalam bukan barangan keperluan sama ada softline mahu pun hardline.

 

Jualan produk makanan sebaliknya meningkat dalam tahun kewangan lalu.

 

Softline dalam peruncitan merujuk barangan seperti pakaian dan kelengkapan bilik tidur manakala hardline adalah barangan elektronik, perabot, barangan kemas, peralatan dapur, pertukangan dan sukan.

 

naoya
NAOYA OKADA

 

ARTIKEL BERKAITAN: Hasil segmen perniagaan runcit Aeon pada 4QFY23 susut 4.9% kepada RM859 juta berbanding RM903 juta pada tahun sebelumnya


 
"Memandangkan pengguna terus berdepan dengan tekanan kewangan yang semakin meningkat daripada masalah makroekonomi pada FY2023, kami melihat pengguna mengutamakan semula perbelanjaan mereka daripada perbelanjaan mengikut budi bicara untuk lebih memfokuskan kepada keperluan asas dan barangan keperluan," jelasnya.

 

Dalam pada itu, Naoya berkata, bagi menghadapi masa depan, pihaknya kekal dipandu oleh Prinsip Asas AEON dengan meletakkan pelanggan sebagai keutamaan, bukan hanya untuk penciptaan nilai jangka panjang, tetapi yang lebih penting, perniagaan kelestarian.

 

Katanya, bagi segmen Runcit, AEON akan terus memanfaatkan strategi yang bercita-cita tinggi namun tertumpu - mengembangkan pangkalan pelanggan, meningkatkan kepelbagaian portfolio produk dan terus meningkatkan platform myAEON2go untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan.

 

"Strategi ini akan mewujudkan gabungan harmoni pengalaman beli-belah fizikal dan digital, disesuaikan untuk memenuhi keperluan pengguna kami yang semakin berkembang dan meningkatkan kemudahan membeli-belah mereka.

 

"Perkhidmatan Pengurusan Harta pula, kami akan terus meningkatkan nilai aset sedia ada dengan menaik taraf pusat beli-belah kami untuk memodenkan dan menyediakan kemudahan yang lebih baik bagi meningkatkan pengalaman membeli-belah sambil mengukuhkan campuran penyewa dengan kepelbagaian penyewa yang lebih besar.

 

"Matlamat kami adalah untuk memupuk persekitaran runcit yang bertenaga dan menarik melalui pengurusan pusat beli-belah yang teladan dan menetapkan penanda aras baharu dalam industri," ujarnya.
- DagangNews.com