Industri telekomunikasi, penyiaran tawar pakej khas sempena bulan kebangsaan - MCMC | DagangNews Skip to main content

Industri telekomunikasi, penyiaran tawar pakej khas sempena bulan kebangsaan - MCMC

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama pihak industri i telekomunikasi dan penyiaran menyediakan beberapa tambah nilai pakej untuk kemudahan rakyat.

 

MCMC dalam satu kenyataan berkata, tawaran pakej tersebut adalah bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan selain tanda prihatin dalam memastikan keseimbangan antara melindungi nyawa dan kelangsungan hidup rakyat.

 

Berikut adalah tawaran pakej yang disediakan;

  1. Tawaran Pakej Peranti RM1 Malaysia Prihatin bagi membolehkan semua rakyat Malaysia memiliki atau menaik taraf pelbagai peranti mudah alih yang menyokong 4G dan VoLTE, bermula dengan RM1. Syarikat telekomunikasi yang akan mengambil bahagian ialah Celcom, Digi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile and YTL
  2. Pemberian data harian sebanyak 1GB oleh Celcom, Digi, Maxis, U Mobile dan Telekom Malaysia secara percuma kepada semua pengguna perkhidmatan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021. Selain itu, bagi inisiatif Learn From Home (LFH) oleh pihak YTL dalam menyokong sistem pendidikan, ia juga akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.
  3. Sokongan berterusan bagi pakej Jaringan Prihatin yang dilanjutkan sehingga 30 September 2021 untuk golongan B40
  4. Pemberian akses tontonan secara percuma beberapa saluran premium terpilih oleh syarikat penyiar swasta seperti Astro dan Unifi kepada pelanggan mereka. 

 

Astro juga menyediakan saluran percuma, Astro 25 di saluran 100, yang akan menyajikan kandungan tempatan berkisar kepada pengorbanan, semangat patriotik serta kejayaan yang telah Malaysia kecapi. 

 

Tambah MCMC, pakej-pakej yang ditawarkan itu dijangka memberi kemudahan dan manfaat kepada rakyat untuk menghadapi perubahan norma baharu dalam pendidikan, pekerjaan di samping meringankan beban perbelanjaan para pengguna. - DagangNews.com