Industri vape catat pertumbuhan besar sebanyak RM2.49 bilion pada 2022 | DagangNews Skip to main content

Industri vape catat pertumbuhan besar sebanyak RM2.49 bilion pada 2022

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 20 FebDewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM) hari ini mendedahkan data awal bagi industri vape, yang mengesahkan bahawa sektor itu telah berkembang dan semakin menjadi penyumbang ekonomi yang bernilai kepada negara.

 

Terkini, nilai runcit industri vape meningkat sebanyak 9.6% kepada RM2.49 bilion.

 

Data 2022 terkini ini adalah kemas kini kepada laporan sulung yang dijalankan pada 2019 yang menganggarkan industri ini bernilai RM2.27 bilion ketika itu.

 

Bagaimanapun berbanding 2019, bilangan kedai vape telah menurun, daripada 3,000 kepada 2,250 berkemungkinan disebabkan oleh situasi pandemik dalam beberapa tahun lalu yang mengakibatkan banyak kedai vape gulung tikar.

 

 

vape

 

 

Pada masa yang sama, penemuan itu juga menunjukkan bahawa industri telah memperluaskan saluran jualannya dengan produk vape kini turut dijual di kedai-kedai runcit am.

 

Menurut penemuan DPVM, terdapat kira-kira 7,500 kedai runcit am yang juga menjual produk vape.

 

Berdasarkan anggaran terkini DPVM, bilangan pengeluar dianggarkan berjumlah 200 orang manakala bilangan pengimport meningkat kepada 100.

 

Sehubungan itu, DPVM turut menganggarkan industri vape kini telah menyediakan pekerjaan secara langsung dan tidak langsung kepada 31,500 pekerja yang terlibat dalam industri vape.

Ridhwan Rosli
                                   Ridhwan Rosli

 

 

Setiausaha Agung DPVM, Ridhwan Rosli  berkata, penemuan tersebut adalah petunjuk jelas tentang potensi kukuh dan daya tahan industri walaupun terkesan ekoran pandemik.

 

Katanya, selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk ramai rakyat Malaysia, industri vape juga telah berkembang untuk mengukuhkan ekosistem PKS serta menarik lebih banyak pelaburan.

 

Industri ini juga ujar beliau, bersedia untuk menyumbang hasil yang besar kepada negara, dengan penganalisis ekonomi menganggarkan bahawa Kerajaan boleh mengutip sehingga RM1 bilion hasil cukai eksais daripada industri sebaik peraturan bermula serta memberikan keyakinan kepada pelabur untuk mencurahkan lebih banyak pelaburan domestik dan asing.

 

“Kami juga menganggarkan jumlah pengguna vape di Malaysia meningkat kepada antara 1.4 hingga 1.5 juta pengguna kerana data awal menunjukkan jumlah jualan produk vape di pasaran meningkat.

 

“Ini menambah kepada keperluan peraturan dengan segera untuk memastikan pengguna vape di Malaysia mempunyai akses kepada produk yang dikawal selia dengan standard kualiti dan keselamatan,” kata beliau.

 

Penemuan ini adalah sebahagian daripada laporan komprehensif berkaitan industri yang dijalankan oleh DPVM. Data penuh akan diterbitkan dalam beberapa bulan lagi dan akan juga meliputi trend peruncitan vape dan tabiat pengguna.

 

Ditubuhkan pada 2015, Dewan Perniagaan Vape Malaysia (MVCC) adalah satu-satunya pertubuhan berkaitan vape yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan di bawah Kementerian Dalam Negeri Malaysia.

 

Keutamaan MVCC adalah untuk membantu menjadikan industri vape di Malaysia lebih berdaya saing dan tersusun secara keseluruhan. – DagangNews.com