Inflasi dijangka menyederhana tetapi kekal tinggi pada 2023 didorong faktor bekalan - Bank Negara Malaysia | DagangNews Skip to main content

Inflasi dijangka menyederhana tetapi kekal tinggi pada 2023 didorong faktor bekalan - Bank Negara Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Feb - Inflasi keseluruhan dan inflasi teras diunjur menyederhana tetapi kekal tinggi pada 2023 dalam keadaan tekanan kos dan permintaan yang berlarutan.

 

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, dalam jangka masa terdekat, inflasi teras kekal tinggi dengan sebahagiannya disebabkan oleh kesan asas yang rendah pada separuh pertama 2022.

 

Beliau berkata, inflasi utama didorong oleh beberapa faktor, dan ia mencerminkan terutamanya faktor penawaran dan permintaan serta harga barangan.

 

"Saya ingin menegaskan tiga perkara, pertama ialah inflasi negara didorong oleh faktor bekalan.

 

"Inflasi teras yang berterusan menunjukkan bahawa faktor permintaan menyumbang kepada tekanan harga asas. Tidak seperti arah aliran masa lalu, inflasi teras mengambil masa yang lebih lama untuk menyederhana selepas mengambil kira faktor kos dan permintaan yang tinggi.

 

“Ketiga ialah, kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) dilakukan untuk menguruskan tekanan permintaan,” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi suku keempat 2022, hari ini.

 

Mengulas mengenai prestasi suku keempat 2022, beliau berkata, inflasi keseluruhan adalah sederhana kepada 3.9% berbanding 4.5% pada suku sebelumnya.

 

Beliau berkata, penurunan yang sederhana ini sebahagian besarnya disebabkan oleh luputnya kesan asas inflasi elektrik iaitu penyumbang utama kepada inflasi yang lebih tinggi pada suku ketiga 2021.

 

Katanya, trend penurunan dalam harga komoditi utama global sebahagiannya menyebabkan inflasi yang lebih rendah dalam beberapa barangan Indeks Harga Pengguna (IHP) termasuk bahan api.

 

"Inflasi beberapa bahan makanan ruji utama, seperti daging segar dan telur juga menjadi sederhana pada suku berkenaan.

 

"Bagaimanapun, kesan penurunan daripada faktor ini sebahagiannya diimbangi oleh inflasi teras yang lebih tinggi," katanya. - DagangNews.com