Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 18 Jun - Insiatif e-Payroll yang dilancarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dapat membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengurangkan kos operasi terutama ketika berdepan tempoh mencabar akibat pandemik COVID-19.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, e-Payroll memainkan peranan penting dalam membantu para majikan mengurus rekod penggajian secara digital sekali gus memudahkan proses pengurusan caruman.
"Bagi industri PKS dan para usahawan, penggunaan inisiatif ini juga dapat mengoptimumkan sumber
manusia sedia ada bagi membolehkan fokus dikhususkan kepada urusan perniagaan seperti pemasaran dan sebagainya.
"Malah, ia menjadi medium yang menyokong usaha kerajaan dalam mewujudkan jaringan keselamatan sosial yang lebih komprehensif di negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan kemudahan e-Payroll KWSP bagi majikan hari ini.
Inisiatif e-Payroll, merupakan penambahbaikan terhadap portal i-Akaun (Majikan), bagi membantu dan mempermudahkan urusan-urusan tanggungjawab berkanun majikan, termasuk caruman KWSP, secara digital.
Sistem ini memberi pengalaman yang selamat dan lancar untuk majikan, dengan penekanan terhadap pengiraan automatik bagi pemotongan dan caruman berkanun kepada badan-badan berkanun.
Sementara itu, dalam kenyataan, KWSP berkata, sistem e-Payroll ini dibangunkan dengan kerjasama dan diperakui oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dan Human Resource Development Corporation (HRD Corp).
Kerjasama erat ini akan memastikan keperluan undang-undang kekal tepat dan terkini dalam sistem e-Payroll.
Sistem e-Payroll ini telah diterima dengan baik oleh 600 PKS yang telah mendaftar dalam tempoh perintis dan semasa prapelancaran baru-baru ini.
Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, perkhidmatan e-Payroll ini dibangunkan khas untuk membantu PKS yang menggunakan i-Akaun (Majikan) yang tidak mempunyai sistem penggajian atau kemampuan kewangan untuk menggunakannya . - DagangNews.com