Oleh YEO LI SHIAN
KUALA LUMPUR, 27 Okt. - Berita baik buat semua penyewa rumah kerana proses pencarian rumah sewa anda bakal dipercepatkan dengan Instahome!
Instahome yang bakal dilancarkan esok oleh Catcha Group itu akan memperkenalkan kaedah baharu untuk menyewa rumah di Malaysia bagi memudahkan proses penyewaan rumah di rantau ini.
Inisiatif terkini ini ditubuhkan pada September lalu oleh dua usahawan terkemuka di Asia Tenggara (SEA) - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengasas Bersama Catcha Group, Patrick Grove dan Chief of Staff di Catcha Group, Eric Tan.
Menurut Grove, Instahome lahir daripada hasil tinjauan dan penyelidikan selama berbulan-bulan bagi mengenal pasti tahap kecekapan proses penyewaan rumah sedia ada dan faktor-faktor yang menyulitkan para penyewa untuk mendapatkan rumah sewa impian mereka.
"Berdasarkan tinjauan dan kajian kami, kebanyakan penyewa berdepan dengan pelbagai kesulitan dalam proses pencarian rumah sewa sedia ada seperti memperoleh senarai maklumat rumah sewa palsu atau tidak tepat, gambar yang mengelirukan serta proses penyewaan rumah yang rumit dan terlalu manual," jelas Grove dalam satu kenyataan hari ini.
Berbekalkan faktor-faktor ini, Instahome diwujudkan bagi memudahkan para penyewa dengan menawarkan reka bentuk serta teknologi khusus bagi meningkatkan pengalaman mereka atau ejen dan pemilik rumah untuk menyewa rumah secara mendadak.
Kajian yang dilakukan oleh pasukan Instahome dan membabitkan 200 orang penyewa di Lembah Klang ini mendapati sebanyak 60 peratus daripada penyewa rumah mengadu kecewa atau tidak berpuas hati dengan kualiti senarai rumah yang disediakan di portal-portal hartanah sedia ada.
"Sebagai penyewa yang kecewa, kami sering bertanyakan soalan ini seperti "Apakah pengalaman yang kami harapkan dalam proses pencarian rumah sewa?" dan kami sedar bahawa industri penyewaan rumah sedia ada belum lagi seiring dengan perkembangan semasa hari ini," kongsi Tan yang juga merupakan pengasas aplikasi penstriminan langsung yang disokong oleh Catcha, VIP Live di Indonesia.
Bercerita lanjut, Tan berharap para penyewa boleh memperoleh gambaran sebenar sesebuah rumah sewa menerusi Instahome kerana pasukan Instahome akan mengunjungi dan memeriksa setiap rumah secara peribadi sebelum menyenaraikannya di portal tersebut.
"Justeru, penyewa tidak perlu menapis ratusan senarai yang palsu, tidak tepat dan tidak berkualiti lagi," tekan Tan dalam satu kenyataan hari ini.
Antara kelebihan Instahome termasuk penyewa berpeluang untuk mengunjungi setiap rumah yang disenaraikan secara maya 3D menerusi gambar HD dan video yang disediakan, mengatur lawatan ke rumah menerusi platform dan menyewa secara dalam talian tanpa bebanan kertas kerja.
"Yang penting, kami akan memastikan semua senarai di Instahome adalah unik tanpa adanya penduaan senarai rumah yang sama dan kami bersyukur kerana setakat ini lebih 100 orang ejen dari seluruh Lembah Klang telah berdaftar untuk bekerjasama dengan Instahome," tambahnya.
Selain Instahome, Catcha Group merupakan sebuah syarikat internet terkemuka yang turut memiliki beberapa buah syarikat terkemuka lain seperti iProperty, iFlix, iCar Asia dan Rev. Asia.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman www.instahome.com atau instagram @instahomemy .- DagangNews.com