Inventori minyak sawit Oktober dijangka turun 8% | DagangNews Skip to main content

Inventori minyak sawit Oktober dijangka turun 8%

Sawit

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 4 Nov. - Inventori minyak sawit negara dianggarkan menurun sebanyak 8% bulan ke bulan kepada 1.59 juta tan pada akhir Oktober 2020.

CGS-CIMB Research berkata, anggaran itu melibatkan 33% penurunan berbanding tahun sebelumya.

"Kami menganggarkan bahawa inventori minyak sawit Malaysia mungkin turun sebanyak 8% bulan ke bulan dan 33% berbanding tahun lalu kepada 1.59 juta tan pada akhir Oktober 2020.

"Ia mewakili tahap stok terendah untuk bulan Oktober sejak tahun 2016," jelas CGS-CIMB Research.

Mengulas lanjut, CGS-CIMB Research berkata, prestasi inventori minyak sawit dalam tempoh 10 tahun lalu meningkat dalam kadar 3.5% bulan ke bulan pada Oktober.

Prestasi itu menjumlahkan kira-kira 2.2 juta tan minyak sawit untuk tempoh 10 tahun berkenaan.

Bagaimanapun, angka rasmi berhubung inventori itu akan dikeluarkan pada 10 November 2020 (Selasa).

Dalam nota kajian yang sama, CGS-CIMB Research meramalkan harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka akan mencecah RM2,600 hingga RM3,200 setiap tan pada November 2020.

Baca: Harga minyak sawit mentah November diunjur RM2,600- RM3,200

Sementara itu, output MSM turut diunjur menurun sebanyak 6% pada Oktober kepada 1.76 juta tan berbanding trend peningkatan 3% pada bulan sama sepanjang 10 tahun lalu.

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh CGS-CIMB Research, ladang di Sabah mencatatkan penurunan pengeluaran bulan ke bulan yang terendah.

Sementara ladang di Semenanjung Malaysia pula mencatatkan pengeluaran bulan ke bulan yang tertinggi.

"Ini memungkinkan Estet Semenanjung Malaysia mencatatkan pemulihan hasil yang lebih tinggi dalam tempoh Mei hingga September berbanding ladang di Sabah.

"Bagaimanapun, pengeluaran pada Oktober nampaknya berada di bawah purata 1.89 juta tan yang mungkin disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan di Sabah sejak 29 September dan kekurangan pekerja," jelas CGS-CIMB Research lagi. - DagangNews.com